Moratorium enam bulan: Perkenal insentif sebagai galakan kepada bank

Ahmad Fadhli Shaari (kiri), Laporan Sinar Harian berhubung kemudahan moratorium yang ditawarkan kepada mangsa yang terjejas banjir
Ahmad Fadhli Shaari (kiri), Laporan Sinar Harian berhubung kemudahan moratorium yang ditawarkan kepada mangsa yang terjejas banjir
A
A
A

SHAH ALAM - Kerajaan perlu memperkenalkan beberapa bentuk insentif seperti pemotongan cukai korporat, subsidi faedah, dana sokongan kecemasan dan kredit sosial sebagai galakan kepada bank untuk melaksanakan moratorium selama enam bulan kepada peminjam yang terjejas banjir.

Ahli Parlimen Pasir Mas, Ahmad Fadhli Shaari berkata, bank yang menyediakan moratorium kepada peminjam terjejas boleh diberikan potongan khas cukai korporat ke atas keuntungan mereka untuk tempoh tertentu.

Menurutnya, perbincangan kerajaan bersama Persatuan Bank-Bank Malaysia (ABM) dan institusi kewangan lain juga perlu diutamakan bagi pelaksanaan moratorium itu dapat dilaksanakan dengan berkesan.

“Kerajaan boleh menanggung sebahagian kos faedah ke atas pinjaman yang diberikan moratorium bagi mengurangkan beban kewangan bank.

“Kerajaan boleh menyediakan dana kecemasan kepada bank untuk membantu menampung risiko kewangan yang timbul akibat moratorium ini.

“Pihak bank mengambil langkah ini boleh diberikan pengiktirafan melalui kredit sosial korporat yang diiktiraf sebagai sebahagian daripada tanggungjawab sosial korporat (CSR), meningkatkan reputasi mereka di mata awam,” katanya dalam siaran di Facebook pada Rabu.

Menurut beliau, cadangan moratorium berkenaan telah dinyatakan olehnya sewaktu perbahasan di Dewan Rakyat pada Rabu agar kebajikan rakyat yang bergelut dengan kesan bencana alam itu diberikan perhatian utama.

Tambahnya, pengalaman moratorium semasa banjir besar di Lembah Klang pada Disember 2021 menjadi bukti bahawa langkah itu mampu memberikan impak positif kepada rakyat.

Artikel Berkaitan:

“Ketika itu, bank seperti Malayan Banking Berhad (Maybank), CIMB Bank Berhad (CIMB) dan Public Bank Bhd menawarkan moratorium sehingga enam bulan kepada pelanggan yang terjejas.

“Inisiatif tersebut memberikan kelegaan kewangan kepada ribuan mangsa banjir yang kehilangan harta benda dan pendapatan,” ujarnya.

Ahmad Fadhli turut mengucapkan penghargaan dan terima kasih kepada bank yang telah mengambil inisiatif menawarkan moratorium kepada mangsa banjir seperti Bank Muamalat Malaysia Berhad (Bank Muamalat), Bank Islam Malaysia Berhad (Bank Islam), Bank Rakyat, dan Agrobank.

“Langkah proaktif ini amat membantu meringankan beban kewangan mangsa banjir

“Saya menyeru pihak kerajaan khususnya Kementerian Kewangan (MoF) agar segera berunding dengan pihak bank dan institusi kewangan bagi melaksanakan moratorium selama enam bulan kepada peminjam terjejas akibat bencana banjir yang melanda beberapa kawasan di negara ini,” menurutnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!