Ringgit meningkat semula untuk ditutup tinggi

Pada 6 petang, mata wang tempatan meningkat kepada 4.4505/4550 berbanding dolar AS daripada 4.4675/4720 pada Selasa. Foto hiasan
Pada 6 petang, mata wang tempatan meningkat kepada 4.4505/4550 berbanding dolar AS daripada 4.4675/4720 pada Selasa. Foto hiasan
A
A
A

RINGGIT meningkat semula daripada penurunan semalam untuk ditutup tinggi berbanding dolar AS pada Rabu.

Penganalisis berkata, situasi ini berikutan tumpuan pelabur yang beralih kepada mata wang pasaran sedang pesat membangun susulan kebimbangan mengenai prospek ekonomi global.

Pada 6 petang, mata wang tempatan meningkat kepada 4.4505/4550 berbanding dolar AS daripada 4.4675/4720 pada Selasa.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata, ringgit mendapat momentum berbanding dolar AS sehingga mencecah RM4.4425 pada sesi petang tetapi kemudiannya merosot kepada RM4.4488.

"Pasaran sedang menunggu kenyataan daripada Pengerusi Rizab Persekutuan (Fed) Amerika Syarikat (AS) Jerome Powell berikutan peniaga dan pelabur sedang mencari petunjuk pasaran.

"Terdapat juga data daripada Laporan Perubahan Pekerjaan ADP yang dijangka merosot kepada 166,000 pada November daripada 233,000 pada bulan sebelumnya,” katanya kepada Bernama hari ini.

Sementara itu, Ketua Penyelidikan Pelaburan UOB, Kay Hian Wealth Advisors Mohd Sedek Jantan berkata, laporan pekerjaan ADP AS mengenai pengambilan pekerja sektor swasta pada November boleh menjadi petunjuk awal kepada laporan senarai gaji bukan ladang pada Jumaat.

"Data ini boleh memberikan gambaran mengenai kekuatan pasaran tenaga kerja menjelang mesyuarat dasar Fed pada 17-18 Disember,” katanya.

Artikel Berkaitan:

"Indeks Pengurus Pembelian (PMI) Perkhidmatan ISM juga dijangka dikeluarkan selepas pasaran AS dibuka hari ini dan kami menjangka bacaan yang kukuh sebanyak 55.5 pada November,” katanya.

Sementara itu, ringgit diniagakan tinggi berbanding sekumpulan mata wang utama.

Ia mengukuh berbanding pound kepada 5.6415/6472 daripada 5.6643/6700, naik berbanding euro kepada 4.6735/6782 daripada 4.7003/7050 dan meningkat berbanding yen Jepun kepada 2.9546/9580 daripada 2.9825/9859 semalam.

Mata wang tempatan diniagakan kebanyakannya tinggi berbanding mata wang ASEAN.

Ia naik berbanding dolar Singapura kepada 3.3057/3093 daripada 3.3223/3261 pada Selasa, tinggi berbanding rupiah Indonesia kepada 279.2/279.6 daripada 280.1/280.5 dan meningkat berbanding baht Thailand kepada 12.9563/9751 daripada 12.9854/13.0042 sebelum ini.

Ringgit susut berbanding peso Filipina kepada 7.64/7.65 daripada 7.62/7.63. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!