Rasuah ADUN Sabah: Kerajaan Sabah tidak tunduk ancaman politik

Hajiji Noor
Hajiji Noor
A
A
A

KOTA KINABALU - Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor menegaskan bahawa kerajaan Sabah di bawah pimpinannya tidak akan tunduk kepada ancaman yang ingin mengugat kestabilan politik di negeri ini.

Jelasnya, kerajaan negeri tidak pernah mengeluarkan lesen melombong kepada mana-mana pihak dan sebarang dakwaan bahawa lesen telah diberikan adalah tidak benar sama sekali.

"Setakat ini, kerajaan hanya mengeluarkan 'prospecting license' yang bertujuan untuk penerokaan dan pengumpulan data geomineral.

"Proses ini adalah langkah awal yang diperlukan sebelum sebarang permohonan lesen melombong daripada syarikat yang layak dapat dipertimbangkan.

"Malangnya, isu ini telah dijadikan propaganda politik oleh pihak-pihak tertentu dengan niat jahat untuk mencetuskan kekeliruan dan menggugat kestabilan politik.

"Kerajaan Sabah tidak akan tunduk kepada usaha yang berniat untuk menggugat kestabilan politik negeri," katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Beliau dalam pada itu memberi jaminan kepada seluruh rakyat Sabah bahawa sumber mineral negeri ini kekal terpelihara dan diuruskan dengan teliti demi masa depan rakyat.

"Saya juga ingin menjelaskan bahawa permohonan kumpulan tersebut melibatkan tanah yang sangat luas, hampir 1 juta ekar (404,685 hektar) di mana, sebahagian besar kawasan itu adalah kawasan perlindungan sepenuhnya kawasan tadahan air dan pemeliharaan.

Artikel Berkaitan:

"Apabila permohonan mereka tidak berjaya, beberapa klip video telah disebarkan sebagai usaha untuk mengancam kerajaan negeri," katanya.

Tambah beliau lagi, tuduhan bahawa wakil rakyat di negeri ini meminta habuan atau melakukan salah laku berkaitan isu itu adalah tidak berasas.

"Perbuatan mengaitkan rakaman video yang telah disunting dan disebarkan dengan niat jahat, termasuk ancaman berbentuk pemerasan jenayah, adalah tindakan terdesak yang bertujuan mencemar nama baik kerajaan serta menjejaskan kestabilan politik Sabah.

"Oleh itu, saya ingin memberi jaminan kepada seluruh rakyat Sabah bahawa pentadbiran saya kekal berpegang kepada prinsip keadilan, ketelusan, dan kejujuran.

"Marilah kita bersama-sama memastikan kerajaan ini terus bertanggungjawab, responsif, dan fokus kepada keperluan rakyat demi masa depan Sabah yang lebih maju dan sejahtera," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!