Pendakwah perlu pertingkat penguasaan Bahasa Inggeris - PM
PUTRAJAYA - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Rabu menyeru pendakwah meningkatkan penguasaan Bahasa Inggeris bagi membolehkan mereka berdebat dengan pemikir di Eropah dan negara luar dengan lebih baik.
Beliau berkata, penguasaan bahasa yang baik membolehkan ajaran Islam disampaikan dengan lebih teratur selain memudahkan ia difahami secara mendalam.
"... di Eropah (misalnya), Bahasa Inggeris yang mantap dan kemas (diperlukan) untuk berbahas dengan mereka (pemikir luar),” katanya ketika berucap pada Majlis Ilmu Madani di sini pada Rabu.
Turut hadir Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah dan Pengasas Kolej Islam Cambridge (CMC) Syeikh Dr Abdal Hakim Murad serta Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar.
Anwar turut memuji kekuatan dan kebijaksanaan Syeikh Abdal Hakim menggunakan bahasa intelektual untuk berdebat dan menarik minat masyarakat di Eropah khususnya tentang Islam.
"Kekuatan anda adalah keupayaan untuk bertutur dengan jelas dalam Bahasa Inggeris yang digunakan di Eropah. Ini berbeza dengan ulama Islam lain yang kurang dari segi keupayaan dan penguasaan bahasa yang baik untuk berdebat,” katanya.
Beliau berkata, Syeikh Abdal Hakim adalah seorang intelektual awam terkemuka yang terkenal dengan keupayaannya untuk menangani cabaran dalam dunia Islam kontemporari.
"Beliau mampu melibatkan diri dengan tradisi Islam dan falsafah serta budaya Barat," katanya.
Anwar turut menggesa mahasiswa dan golongan muda untuk membaca buku atau kitab bersama pensyarah supaya kupasannya dapat difahami dengan jelas.
"Saya cadang untuk mahasiswa dan anak muda, baca kitab dengan pensyarah atau guru. Ia lebih baik, mendalam dan bahasa tinggi dengan kupasan dengan semua pemikir,” katanya. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!