Dana kekayaan terbesar Norway tarik diri daripada syarikat Israel

Dana kekayaan berdaulat Norway, yang terbesar seumpamanya di dunia telah mengumumkan keputusan untuk menarik diri daripada syarikat telekomunikasi Israel.
Dana kekayaan berdaulat Norway, yang terbesar seumpamanya di dunia telah mengumumkan keputusan untuk menarik diri daripada syarikat telekomunikasi Israel.
A
A
A

RAMALLAH - Dana kekayaan berdaulat Norway, yang terbesar seumpamanya di dunia telah mengumumkan keputusan untuk menarik diri daripada syarikat telekomunikasi Israel, Bezeq berhubung operasinya di penempatan haram di Tebing Barat yang diduduki, lapor Agensi Berita Palestin (WAFA).

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan pada Selasa, lembaga etika dana itu berkata, kehadiran fizikal Bezeq di penempatan haram Israel dan penyediaan perkhidmatan telekomunikasinya secara langsung memudahkan penyelenggaraan dan pengembangan penempatan yang dianggap haram di bawah undang-undang antarabangsa.

"Dengan kehadiran fizikal Bezeq di penempatan di Tebing Barat dan penyediaan perkhidmatan telekomunikasi kepada mereka, syarikat ini memudahkan penyelenggaraan dan perluasan penempatan haram yang melanggar undang-undang antarabangsa.

"Syarikat itu sendiri menyumbang kepada pelanggaran undang-undang antarabangsa melalui tindakan berkenaan,” kata lembaga etika dalam saranannya.

Sambil mengakui bahawa Bezeq turut menyediakan perkhidmatan telekomunikasi ke kawasan Palestin di Tebing Barat, lembaga itu menegaskan bahawa ini tidak menafikan penglibatannya dalam penempatan haram Israel.

Keputusan menarik diri daripada pelaburan itu mencerminkan penafsiran yang lebih ketat terhadap garis panduan etika dana yang melarang pelaburan dalam syarikat yang menyumbang kepada atau mendapat keuntungan daripada pelanggaran undang-undang antarabangsa.

Cadangan lembaga etika itu telah dikemukakan kepada lembaga pengarah Bank Pusat Norway, yang akan membuat keputusan muktamad mengenai pelupusan berkenaan. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!