Waspada situasi di Korea Selatan
SHAH ALAM - Rakyat Malaysia yang berada di Korea Selatan masih perlu mengambil langkah berjaga-jaga dan cakna mengenai krisis politik walaupun pengisytiharan undang-undang darurat negara itu ditarik semula pada Rabu.
Pempengaruh dikenali sebagai Kim Seri Eina yang menetap di Samyang, Gangbuk-gu, Seoul berkata, keadaan dilihat masih tegang terutamanya ketika perhimpunan oleh parti pembangkang, orang awam serta tentera yang berada di kawasan berkenaan.
“Waktu darurat diumumkan, tentera membanjiri kawasan Seoul. Kawasan kejiranan saya agak bising kerana mereka saling bertanya apa yang sedang berlaku.
“Pada awalnya, saya rasa keadaan biasa sahaja tetapi tadi semasa di kelas, pensyarah menerangkan tentang situasi politik sekarang.
“Katanya perlu sentiasa ambil tahu situasi semasa dan langkah berjaga-jaga dengan krisis politik yang berlaku. Keadaan juga masih tegang,” ujarnya pada Rabu.
Agensi berita Yonhap pada Selasa melaporkan, Presiden Korea Selatan, Yoon Suk Yeol mengisytiharkan undang-undang tentera berikutan mendakwa parti pembangkang terlibat dalam ‘aktiviti antinegara yang merancang pemberontakan’.
Bagaimanapun, Suk Yeol menarik balik pengisytiharan undang-undang darurat pada Rabu selepas ahli Parlimen menentang keputusan itu dan ribuan penunjuk perasaan turun ke jalanan.
Dalam pada itu, seorang jurutera yang bekerja di Osong, Korea Selatan, Mohd Fikri Mohd Jumat berkata, situasi sudah kembali terkawal dan dalam keadaan selamat selepas penarikan semula pengisytiharan tersebut.
“Setakat ini nampak (keadaan) okey sebab presiden pun sudah tarik semula undang-undang tersebut selepas undi pagi tadi (Rabu) di Parlimen,” kongsinya.
Dalam pada itu, seorang lagi rakyat Malaysia yang sedang bercuti di Korea Selatan, Aliffya Dhalaliff berkata, pihak polis negara terbabit masih dilihat berkawal di sekitar Istana Gyeongbokgung walaupun keadaan sudah terkawal.
“Bagi saya, mungkin masih selamat untuk melancong ke sini kerana tiada apa-apa amaran daripada pihak berkuasa, cuma masih perlu berjaga-jaga,” ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!