Kes Najib, Vivy dijangka jadi tumpuan

Najib (kiri), Vivy dan Fadzaruddin
Najib (kiri), Vivy dan Fadzaruddin
A
A
A

KES prosiding pendengaran rayuan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan pendakwaan pengasas platform e-dagang FashionValet, Datin Vivy Yusof dan suaminya, Datuk Fadzaruddin Shah Anuar dijangka menjadi tumpuan pada Khamis.

Bekas Ahli Parlimen Pekan itu dijadualkan menghadiri ke prosiding tersebut berhubung kewujudan titah adendum, yang dikatakan diperkenan oleh Yang di-Pertuan Agong ke-16 itu akan membolehkan Najib menjalani baki hukuman penjaranya di bawah tahanan rumah.

Perbicaraan rayuan itu adalah berkaitan cabaran Najib terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang menolak permohonannya untuk mendapatkan kebenaran bagi memulakan semakan kehakiman berhubung perintah tambahan.

Pada 3 Julai lepas Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang menolak permohonan Najib memutuskan bahawa empat afidavit yang menyokong tuntutannya, termasuk kenyataan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Naib Presiden, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, tidak boleh diterima kerana ia khabar angin semata-mata.

Dalam permohonan yang difailkan April lepas, Najib memohon perintah mandamus untuk memaksa responden menjawab dan mengesahkan kewujudan titah adendum bertarikh 29 Januari lepas.

Isu Titah Adendum yang menjadi perbualan hangat termasuk di Dewan Rakyat sudah tentu ditunggu-tunggu oleh rakyat seluruh negara.

Meskipun Menteri Dalam Negeri, Datuk Saifuddin Nasution Ismail pada 7 November lalu menegaskan bahawa adendum yang diperkatakan itu adalah khabar angin, namun persoalan berkenaan masih dibangkitkan oleh pelbagai pihak.

Justeru, keputusan prosiding pada Khamis dijangka dapat memberi penjelasan lebih tepat kepada masyarakat berhubung isu tersebut.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, perkembangan melibatkan Vivy dan suaminya berhubung isu kerugian pelaburan RM43.9 juta Khazanah Nasional Berhad (Khazanah) dan Permodalan Nasional Berhad (PNB) terhadap FashionValet juga akan menarik perhatian ramai.

Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki telah mengesahkan bahawa Vivy dan Fadzaruddin akan didakwa di Mahkamah Kuala Lumpur pada Khamis.

Bagi mereka yang mengikuti kronologi pasangan usahawan tersebut sejak Oktober lalu, sudah pasti tidak akan ketinggalan untuk mengikuti isu berkenaan.

Mana tidaknya, isu itu menimbulkan pelbagai reaksi terutamanya kritikan dan gesaan untuk penyiasatan lebih teliti dijalankan.

FashionValet bukan satu jenama baharu, sebaliknya telah lama bertapak dalam industri sejak ditubuhkan pada 2010 sebagai antara platform e-dagang pertama di Malaysia yang memberi tumpuan kepada fesyen sederhana dan pereka tempatan.

Pastinya ramai menantikan kes mahkamah berhubung pendakwaan yang akan berlangsung pada Khamis.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!