Sampah dan banjir bagai adik-beradik
BARU-baru ini tular di media sosial video yang memaparkan sekumpulan penduduk mengharungi air banjir yang dipenuhi sampah dan berminyak dalam kejadian banjir di Arena Kepayang Putra, Fair Park, Ipoh Perak.
Walaupun melihat keadaan itu di alam maya, namun ia jelas meloyakan sesiapa sahaja apatah lagi penduduk dan sukarelawan di kawasan terbabit yang mengharunginya.
Sebenarnya jika pembaca pernah menjadi mangsa atau terlibat sebagai sukarelawan banjir, air yang dipenuhi sampah bukan asing lagi cuma kali ini agak menjijikkan kerana ia turut dipenuhi minyak.
Penulis sendiri pernah membuat tinjauan banjir di sebuah kampung ketika Kedah dilanda banjir pada November lalu.
Sebatang sungai di kampung berkenaan dipenuhi dengan sampah yang tersangkut pada ranting-ranting pokok dalam sungai.
Antara sampah sarap yang sempat penulis lihat termasuklah botol minuman, botol racun rumpai, bekas polisterina makanan dan beg plastik.
Sampah-sarap itu penulis andaikan dibawa air banjir dari merata tempat lalu terkumpul dalam sungai terbabit.
Bukan itu sahaja, sebaik melintasi sebuah rumah penduduk di kampung itu juga, penulis dapat melihat sampah-sarap terapung dalam air banjir di pekarangan rumah berkenaan.
Sudah pasti selepas banjir surut, sampah-sarap terbabit akan kekal di situ dan pemilik rumah perlu membersihkannya pula.
Itu cuma suasana banjir di kawasan kampung yang tidak banyak pembangunan, jika pada musim sekarang ketika beberapa ibu negeri di Semenanjung sedang dilanda banjir, mungkin lebih dahsyat sampah yang ditemui selepas banjir surut nanti.
Ketika itu mulalah semua pihak lawan menuding jari mencari salah sedangkan menjaga kebersihan alam itu tanggungjawab semua anggota masyarakat.
Bagi kes di Ipoh, Perak itu juga, Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) masih dalam usaha mengesan punca berlakunya air banjir berminyak dan 'lemak' terapung itu.
Sebenarnya apabila terjadi masalah seperti itu, banyak kos dan tenaga diperlukan untuk menyiasat kes terbabit yang sepatutnya boleh dimanfaatkan untuk kerja-kerja pasca banjir seperti mencuci rumah penduduk.
Akhirnya, kita diibaratkan membazirkan kos dan tenaga yang ada untuk perkara yang sepatutnya boleh dielakkan lebih awal.
Berkaitan isu kesedaran alam sekitar, ramai pihak baik kerajaan mahupun NGO sering mengadakan kempen menjaga kebersihan.
Malah sejak di bangku sekolah lagi guru-guru telah menerapkan amalan kitar semula untuk kelestarian alam.
Pelajar turut diajar jika kawasan sekeliling tidak ada tong sampah, sampah itu akan dibawa pulang dan akan dibuang di rumah.
Sebenarnya, jika dilihat tidak susah sebenarnya untuk kita mengamalkan kitar semula di negara ini.
Kemudahan sudah tersedia, terpulang kepada kita hendak melaksanakan atau tidak sahaja.
Malah, di utara, syarikat pengurusan sisa pepejal dan pembersihan awam, E-Idaman Sdn Bhd telah pun menawarkan perkhidmatan kitar semula secara pandu lalu untuk memudahkan masyarakat.
Setiap barang yang dikitar semula itu akan dibeli oleh mereka mengikut nilai yang ditetapkan.
Betapa banyak manfaat yang dapat sekiranya menjaga alam sekitar sehingga turut ditawarkan wang untuk setiap sampah yang dihantar kepada syarikat terbabit.
Walau bagaimanapun, penulis harap kejadian di Ipoh Perak itu adalah yang terakhir berlaku dan semua anggota masyarakat dapat berganding bahu menjaga kelestarian alam.
Ketika ini saling menyalahkan pun tidak guna, sebaiknya duduk bersama dan cari penyelesaian supaya ia tidak berulang lagi apabila banjir di kemudian hari.
Persatuan penduduk khususnya boleh mengadakan pertandingan kitar semula yang disertai oleh semua pemilik rumah dalam kawasan terbabit.
Secara tidak langsung masyarakat dapat menyokong Dasar Kebersihan Negara (DKN) yang menekankan tiga kluster iaitu kesedaran terhadap kebersihan, kelestarian alam sekitar dan ekonomi kitaran.
*Roshila Murni Rosli ialah Wartawan Sinar Harian Biro Kedah
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!