Usul pecat Suk-yeol
SEOUL - Parti pembangkang utama Korea Selatan, Parti Demokratik (DP), pada Rabu menyifatkan pengisytiharan undang-undang darurat oleh Presiden Yoon Suk-yeol sebagai pelanggaran terhadap perlembagaan.
Susulan itu, mereka menuntut supaya Suk-yeol segera meletakkan jawatan bagi mengelak konflik yang berpanjangan.
Ketika mesyuarat tergempar parti itu di Dewan Negara, DP mengumumkan bahawa mereka akan segera memulakan proses untuk memecat Suk-yeol sekiranya beliau tidak meletak jawatan secara sukarela.
“Suk-yeol gagal mematuhi mana-mana syarat yang diperlukan untuk mengisytiharkan undang-undang tentera.
“Ini adalah satu tindakan pemberontakan yang serius dan alasan yang sempurna untuk pemecatan,” kata DP dalam resolusinya pada Rabu.
Sementara itu, beberapa penasihat kanan Suk-yeol termasuk Ketua Turus menawarkan diri untuk melepaskan jawatan secara serentak.
Suk-yeol, 63, mengumumkan undang-undang tentera, namun menarik balik keputusan itu enam jam kemudian sehingga mencetuskan krisis politik terburuk dalam tempoh 40 tahun di negara ekonomi keempat terbesar di Asia itu.
Pengisytiharan mengejut oleh Suk-yeol itu menimbulkan bantahan anggota Dewan Perhimpunan Kebangsaan yang menolak perintahnya untuk melarang aktiviti politik dan menyekat kebebasan media.
Suk-yeol memberitahu negara dalam satu ucapan televisyen bahawa undang-undang tentera diperlukan atas alasan untuk mempertahankan negara daripada ancaman Korea Utara yang memiliki senjata nuklear serta memastikan kelangsungan undang-undang perlembagaan yang bebas.
Tidak lama selepas itu, Parlimen Korea Selatan, dengan 190 daripada 300 ahli hadir meluluskan usul yang meminta undang-undang tentera ditarik balik.
Seramai 18 ahli daripada parti Suk-yeol turut hadir.
Beliau akhirnya akur untuk membatalkan pengisytiharan tersebut.
Pemimpin 'tak popular'
Sebagai pemimpin yang dianggap sebagai seorang yang konservatif Suk-yeol tidak pernah popular di negaranya.
Kemenangannya pada pilihan raya dianggap lebih kepada referendum terhadap kegagalan pendahulunya, pemimpin liberal, Moon Jae-in.
Beliau dianggap sebagai seorang tokoh yang tidak berupaya untuk menyatukan negaranya.
Sebelum dilantik sebagai Presiden, beliau merupakan seorang pendakwa raya yang terkenal kerana pernah mendakwa bekas Presiden, termasuk Park Geun-hye yang akhirnya dipenjarakan.
Sikapnya yang tegas dan tidak berkompromi terhadap rasuah melonjakkan popularitinya sebagai pemimpin yang bebas korup dan berani menentang salah guna kuasa.
Namun, populariti Suk-yeol di dalam negara terus merudum akibat hubungan toksik dengan pembangkang yang menghalang agenda properniagaan diperjuangkan beliau.
Walaupun Korea Selatan menikmati pengaruh global melalui kebudayaan, perniagaan dan hiburan, ketidaksamaan ekonomi yang semakin meningkat mencetuskan ketidakpuasan meluas.
Harga rumah yang melambung tinggi dan kesukaran graduan baru mendapatkan pekerjaan telah menambah tekanan kepada golongan muda yang menolak perkahwinan atau mempunyai anak.
Tetapi, cabaran terbesar Suk-yeol adalah suara pembangkang yang memegang majoriti di Parlimen terutamanya selepas pemilihan, baru-baru ini.
Pilihan Raya Parlimen 2024 dilihat sebagai peluang kepada Parti Kuasa Rakyat pimpinan Suk-yeol untuk menguasai majoriti namun berdepan kekalahan di tangan pembangkang yang disifatkan rakyat sebagai ‘Hari Penghakiman’, sekali gus mencetuskan kebuntuan politik di negara itu. - Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!