Berbaloikah bayar premium insurans lebih mahal?
PREMIUM insurans perubatan dijangka meningkat antara 40 sehingga 70 peratus tahun depan, menyebabkan sesetengah pemegang polisi berdepan dilema sama ada meneruskan atau menamatkan polisi mereka kerana tidak mampu menanggung kos bayaran bulanan premium.
Sehubungan itu, Ahli Parlimen Bayan Baru, Sim Tze Tzin menggesa Bank Negara Malaysia (BNM) supaya tidak ‘lepas tangan’ dan menyiasat serta mengkaji semula perkara tersebut.
Beliau berkata, kenaikan kadar premium insurans kesihatan amat berkait rapat dengan caj hospital swasta yang melambung tinggi, sama ada secara langsung atau tidak langsung.
Rentetan itu, pelbagai maklum balas yang diterima daripada orang ramai berhubung isu kenaikan harga insurans dan pengendali takaful (ITO), khususnya harga insurans perubatan serta kesihatan (MHIT).
Ada pihak yang menyokong peningkatan itu, namun ada juga sebaliknya.
Masing-masing mempunyai hujah dan pandangan yang tersendiri berhubung isu tersebut.
SOKONG
Pelaburan besar jamin perlindungan diri, keluarga
Peningkatan premium insurans wajar demi mendapatkan akses kepada rawatan lebih baik, terutamanya dalam situasi kecemasan yang memerlukan perhatian segera.
Saya bersetuju kerana caruman insurans kesihatan yang lebih tinggi mampu memberi jaminan perlindungan dan kesejahteraan keluarga.
Dalam erti kata lain, saya melihat peningkatan premium insurans sebagai satu pelaburan yang berbaloi kerana kita tak mampu tanggung kos rawatan yang tinggi dengan dana sendiri.
Walaupun diakui kenaikan kos insurans mungkin membebankan sesetengah individu tetapi manfaat jangka panjang yang diperoleh, tidak dapat dinafikan.
Saya berpendapat, peningkatan itu wajar diterima baik sebagai langkah proaktif dalam memastikan rakyat mempunyai perlindungan yang mencukupi.
- Pekerja swasta, Azureen Zainal, 24
Boleh tampung kos rawat penyakit kritikal
Pada pendapat saya, peningkatan premium insurans kesihatan terkait dengan penyakit kritikal seperti kanser, serangan jantung atau strok yang memerlukan rawatan jangka masa panjang dan kompleks serta mahal.
Sudah tentu ia termasuk kos untuk pembedahan, rawatan susulan dan ubat-ubatan yang tinggi.
Dengan peningkatan harga pelan insurans, rakyat bukan sahaja mendapat banyak faedah tetapi juga manfaat perlindungan yang lebih baik untuk menampung kos rawatan.
Pelan insurans dengan harga tinggi juga memberikan pelbagai bentuk perlindungan untuk rawatan di hospital swasta yang semua maklum kebanyakannya dilengkapi kemudahan dan perkhidmatan berkualiti tinggi.
Kita juga tidak perlu berasa bimbang dengan kos rawatan yang perlu ditanggung sekiranya premium insurans yang kita bayar adalah berbaloi dan terjamin.
Oleh itu, kita perlu berlapang dada dengan peningkatan premium insurans kesihatan ini yang memberi perlindungan mencukupi bagi individu yang berisiko.
- Kakitangan awam, Muhammad Iqbal Harraz Mohd Yaakub, 27
BANGKANG
Kos sara hidup sudah cukup membebankan
Jika harga premium insurans dinaikkan, ia pasti akan lebih membebankan kerana saya sendiri mempunyai banyak komitmen lain.
Saya percaya ia juga akan memberi kesan besar kepada masyarakat, terutama golongan berpendapatan rendah yang sebenarnya sudah pun berdepan cabaran ekonomi lain.
Kenaikan berkenaan juga akan membuatkan ramai berdepan dilema kerana bajet bulanan tidak mencukupi.
Mungkin ramai yang terpaksa menamatkan caruman perlindungan insurans atas sebab mahu berjimat.
Sedangkan, kebanyakan rakyat sebenarnya bergantung kepada insurans bagi memberikan perlindungan untuk kejadian tidak dijangka seperti kemalangan dan penyakit kritikal.
Jadi, kesimpulannya saya berpendirian kenaikan harga insurans perlu ditangguhkan atau diselaraskan agar tidak membebankan rakyat yang sudah cukup tertekan dengan kos sara hidup dalam keadaan ekonomi sekarang.
- Pekerja swasta, Adam Shauqi Zainul Akmal, 27
Perlindungan rawatan masih terhad
Pada pandangan saya, kos rawatan perubatan masih tidak dapat ditampung sepenuhnya oleh pihak insurans walaupun mereka sudah membayar premium insurans dengan harga yang tinggi.
Ia disebabkan sebahagian besar pelan insurans sebenarnya hanya menanggung sebahagian kecil kos rawatan, menyebabkan pesakit terpaksa menanggung lebihan kos menggunakan duit sendiri.
Saya percaya, kebanyakan pelan insurans mempunyai had perlindungan terhad, terutamanya untuk rawatan jangka panjang atau penyakit kritikal yang memerlukan kos tinggi seperti kemoterapi atau pembedahan besar.
Jadi, peningkatan harga tersebut boleh menyebabkan pesakit terpaksa mencari dana lain untuk meneruskan rawatan, sekali gus menambah tekanan kewangan sedia ada.
Walaupun insurans kesihatan dalam negara semakin popular, tetapi sistem itu masih belum cukup menyeluruh untuk menangani kos rawatan yang sangat mahal.
Kenaikan premium seolah-olah tidak setara dengan manfaat diterima kerana kebanyakan pelan insurans tetap mempunyai batasan tertentu dalam menampung kos rawatan yang tinggi.
- Kontraktor, Mohd Shafiq Mohd Fauzi, 29
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!