Bersatu tetap teruskan tindakan undang-undang terhadap SPRM

Laporan Sinar Harian pada Selasa (kiri), Tun Faisal
Laporan Sinar Harian pada Selasa (kiri), Tun Faisal
A
A
A

SHAH ALAM - Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) akan terus mengambil tindakan undang-undang terhadap Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berkaitan penyitaan akaun bank miliknya.

Ketua Penerangannya, Datuk Tun Faisal Ismail Aziz berkata, tindakan menyita akaun parti Bersatu itu untuk suatu tempoh terlalu panjang adalah suatu tindakan zalim dan menyalahi proses undang-undang diperuntukkan.

Menurutnya, atas sebab itu, memang wajar untuk peguam Bersatu meneruskan tindakan undang-undang ke atas SPRM agar tindakan yang zalim tersebut dapat dihentikan.

“Berdasarkan Perkara 52A Akta 613, Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 menyebut sesuatu perintah penyitaan yang dibuat di bawah akta ini hendaklah terhenti berkuat kuasa selepas tamat tempoh 12 bulan dari tarikh perintah penyitaan itu.

“Atau jika terdapat suatu perintah pembekuan sebelum itu, 12 bulan dari tarikh perintah pembekuan itu, jika orang yang terhadapnya perintah itu dibuat tidak dipertuduh dengan suatu kesalahan di bawah akta ini,” katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.

Sebelum ini, SPRM memaklumkan tindakan pihaknya menyita akaun bank Bersatu dibuat berdasarkan peruntukan undang-undang.

Pengarah Bahagian Perundangan dan Pendakwaan SPRM, Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin berkata, ia tidak dilakukan sewenang-wenangnya.

Mengulas lanjut, tambah Tun Faisal, tarikh SPRM mengeluarkan perintah pembekuan adalah pada 12 Januari 2023 dan 13 Januari 2023, bermaksud ia telah melewati tempoh 12 bulan dan akta tersebut sepatutnya telah terhenti berkuat kuasa pada 12 dan 13 Januari tahun 2024.

Artikel Berkaitan:

“Sepanjang tempoh 12 Januari 2023 hingga 13 Januari 2024, parti Bersatu tidak pernah didakwa dan dikenakan sebarang kesalahan di bawah Akta 613 malah tiada permohonan untuk perlucutan hak dibuat oleh SPRM di bawah Seksyen 56, Akta 613 terhadap akaun parti.

“Akta 613 ini adalah salah satu akta draconian yang amat mudah disalahgunakan pihak kerajaan untuk menekan lawan politik di mana hukuman telah dikenakan ke atas pihak lawan sebelum kesalahan dibicarakan dan dibuktikan,” dakwanya.

Jelas beliau, kenyataan SPRM mengenai akaun bank tersebut adalah subject matter kepada siasatan serta pendakwaan dan ia tidak boleh dilepaskan sehingga selesai perbicaraan adalah bukti bahawa pihak terbabit keliru mengenai perbezaan antara Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan akaun parti Bersatu.

Katanya, dalam hal demikian terdapat kemungkinan SPRM telah menyalahgunakan proses undang-undang atau mungkin juga kuasa dan itu menjadi asas kenapa tindakan undang-undang wajar diambil ke atas jabatan berkenaan.

Sementara itu, Tun Faisal berpendapat Perhimpunan Agung Tahunan (PAT) Bersatu yang berlangsung baru-baru ini memberikan penyusunan dan pengukuhan parti dalam melangkah ke hadapan bagi memperjuangkan dan mengisi semangat nasionalisme baru selain ia platform pelaksanaan gagasan yang diumumkan presiden.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!