Vivy Yusof, suami didakwa pecah amanah RM8 juta

Pengasas platform e-dagang FashionValet, Datin Vivy Yusof dan suaminya, Datuk Fadzarudin Shah Anuar mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini pada Khamis atas satu pertuduhan pecah amanah dana pelaburan Khazanah Nasional Berhad (Khazanah) dan Permodalan Nasional Berhad (PNB) bernilai RM8 juta, pada enam tahun lalu. Foto SINAR HARIAN-ROSLI TALIB
Pengasas platform e-dagang FashionValet, Datin Vivy Yusof dan suaminya, Datuk Fadzarudin Shah Anuar mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini pada Khamis atas satu pertuduhan pecah amanah dana pelaburan Khazanah Nasional Berhad (Khazanah) dan Permodalan Nasional Berhad (PNB) bernilai RM8 juta, pada enam tahun lalu. Foto SINAR HARIAN-ROSLI TALIB
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Pengasas platform e-dagang FashionValet, Datin Vivy Yusof dan suaminya, Datuk Fadzarudin Shah Anuar mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini pada Khamis atas satu pertuduhan pecah amanah dana pelaburan Khazanah Nasional Berhad (Khazanah) dan Permodalan Nasional Berhad (PNB) bernilai RM8 juta, pada enam tahun lalu.

Vivy atau nama sebenarnya Vivy Sofinas Yusof, 37, dan Fadzarudin, 36, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibaca di hadapan Hakim, Rosli Ahmad.

"Faham, mengaku tidak bersalah," kata Vivy yang hadir ke mahkamah dengan memakai baju serba putih bersama Fadzarudin, yang mengenakan kot berwarna hitam.

Mengikut pertuduhan, mereka didakwa dengan niat bersama sebagai ejen iaitu Pengarah FashionValet Sdn Bhd, diamanahkan dana pelaburan Khazanah dan PNB, telah melakukan pecah amanah jenayah dengan membuat pembayaran berjumlah RM8 juta dari akaun bank milik syarikat fesyen e-dagang terkemuka ini, ke syarikat 30 Maple Sdn Bhd, tanpa kelulusan Ahli Lembaga Pengarahnya.

No Image Caption

Kesalahan didakwa dilakukan di Public Bank Berhad Cawangan Bukit Damansara, Bukit Damansara di sini, pada 21 Ogos 2018.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan, dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama, yang membawa hukuman pemenjaraan antara dua hingga 20 tahun, sebat dan denda, jika sabit kesalahan.

Semasa prosiding, Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin membantah kedua-dua tertuduh diberi ikat jamin kerana kes berkenaan termasuk dalam kesalahan yang tidak boleh dijamin.

Artikel Berkaitan:

Bagaimanapun beliau mengakui, pasangan itu telah memberi kerjasama baik kepada pihak SPRM di sepanjang kes ini disiasat.

No Image Caption

Susulan itu, beliau mencadangkan setiap tertuduh diberi ikat jamin antara RM100,000 hingga RM200,000 dengan syarat tambahan melaporkan diri di pejabat SPRM sekali setiap bulan, tidak mengganggu saksi dan menyerahkan pasport kepada mahkamah sehingga kes selesai.

"Mereka sememangnya memberi kerjasama kepada SPRM dengan hadir setiap kali dipanggil memberi keterangan namun ketika itu mereka merupakan saksi kes, dan sekarang status itu telah bertukar kepada tertuduh.

"Amaun yang kami mohon sangat munasabah, kerana mengambil kira keseriusan kes dan ada risiko untuk melarikan diri.

"Kes ini melibatkan amaun mencecah RM8 juta maka kadar jaminan yang kami cadangkan tidak bersifat menekan atau menghukum kedua-dua tertuduh," katanya yang turut diwakili Timbalan Pendakwa Raya, Timbalan Pendakwa Raya, Fadhli Ab Wahab dan Haresh Prakash Somiah.

Sementara itu, kedua-dua tertuduh yang diwakili peguam, Ashok Athimulan berkata, amaun yang dicadangkan pihak pendakwaan adalah tinggi, seolah-olah menghukum anak guam, sebelum perbicaraan bermula.

"Saya tidak membantah syarat tambahan, namun mohon jaminan pada kadar rendah dan munasabah dengan mengambil kira mereka telah hadir sebanyak sambilan kali ke pejabat SPRM ketika siasatan kes.

"Mereka mempunyai empat anak yang bersekolah di sini, termasuk keluarganya menetap di ibu negara, sekali gus menunjukkan mereka tidak mempunyai risiko untuk melarikan diri maka tiada keperluan untuk mahkamah menetapkan jumlah jamin yang tinggi," katanya.

Ekoran kes ini peguam terbabit berkata, anak guamnya mengalami kekangan kewangan selepas aset mereka dibekukan, sehingga terpaksa bergantung kepada ahli keluarga dan rakan lain untuk bayar wang jaminan.

Selepas mendengar permohonan daripada kedua-dua pihak, Rosli membenarkan setiap tertuduh diberi ikat jamin sebanyak RM100,000 dengan seorang penjamin dan memenuhi syarat tambahan yang dicadangkan pihak pendakwaan.

Mahkamah menetapkan sebutan semula kes 22 Januari tahun depan.

Pada 28 Oktober lalu, Kementerian Kewangan (MoF) dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat memaklumkan, Khazanah dan PNB sekadar memperoleh RM3.1 juta hasil penjualan saham dalam FashionValet kepada syarikat Bumiputera, NXBT Partners pada 2023 berbanding pelaburan RM47 juta oleh Khazanah dan PNB pada 2018, masing-masing RM27 juta dan RM20 juta.

Dalam pada itu, Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW) berkata, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) wajar menjalankan siasatan menyeluruh terhadap pengurusan FashionValet dan proses pelaburan kedua-dua syarikat berkenaan bagi memastikan tiada unsur penyelewengan atau penyalahgunaan kuasa.

Susulan itu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, terdapat beberapa transaksi mencurigakan dikesan sejak tahun 2018 hingga tahun lalu, berhubung kerugian pelaburan dalam syarikat e-dagang berkenaan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!