KPDN sita 32 tong LPG

Sebanyak 32 tong LPG turut disita dalam serbuan tersebut. Foto ihsan KPDN
Sebanyak 32 tong LPG turut disita dalam serbuan tersebut. Foto ihsan KPDN
A
A
A

KUANTAN - [DIKEMAS KINI] Tindakan lori yang kerap membekalkan gas petroleum cecair (LPG) dalam kuantiti yang banyak membawa serbuan terhadap kilang memproses areosol dan minyak pelincir di sini yang menyimpan gas itu tanpa permit pada Rabu.

Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Pahang, Jezlily Jamaluddin berkata, serbuan dijalankan oleh sepasukan anggota penguat kuasa kementerian itu kira-kira jam 11 pagi hasil risikan selama sebulan terhadap lori terbabit.

Menurutnya, serbuan tersebut hasil risikan selama sebulan dilakukan terhadap lori itu yang kerap menghantar bekalan tong LPG dalam kuantiti banyak ke sebuah kilang disyaki tidak memiliki lesen mengedar, memiliki barang kawalan atau menyimpan barang kawalan berjadual.

"Pemilik lori itu gagal mengemukakan sebarang dokumen yang berkaitan bagi pemilikan LPG tersebut," katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Anggota penguat kuasa KPDN Pahang melakukan pemeriksaan terhadap tong LPG yang ditemui pada lori terbabit. Foto ihsan KPDN
Anggota penguat kuasa KPDN Pahang melakukan pemeriksaan terhadap tong LPG yang ditemui pada lori terbabit. Foto ihsan KPDN

Ujarnya, sebanyak 32 tong LPG, sebuah lori 1 tan serta dokumen perniagaan lain yang berkaitan dianggarkan bernilai RM26,944 disita untuk tujuan siasatan.

Jelas beliau, satu kertas siasatan dibuka dan kes disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 kerana menjalankan urus niaga barang kawalan atau menyimpan barang kawalan berjadual LPG tanpa lesen.

Artikel Berkaitan:

Tegasnya, KPDN ingin memberi amaran keras terhadap mana-mana individu atau syarikat berkaitan supaya sentiasa mematuhi perundangan yang telah ditetapkan.

"Pihak kementerian juga mengalu-alukan agar para pengguna untuk sama-sama membantu menjadi mata dan telinga kementerian selaras dengan inisiatif Kita Gempur.

"Inisiatif ini merupakan pelaksanaan langkah strategik kerajaan untuk membina gerakan massa bagi menangani isu manipulasi dalam aktiviti perniagaan dan ketirisan yang melibatkan barang kawalan serta barang kawalan bersubsidi," jelasnya lagi.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!