Pemuda tikam ibu kandung direman tujuh hari
KLUANG - Mahkamah Majistret di sini pada Khamis membenarkan perintah reman tujuh hari terhadap pemuda yang dipercayai menikam ibu kandungnya dalam kejadian di Felda Ayer Hitam.
Perintah reman dikeluarkan Majistret Mustaqim Sukarno terhadap suspek berusia 20-an itu bermula Khamis sehingga 11 Disember depan.
Sebelum itu, suspek yang memakai baju lokap berwarna ungu tiba di pekarangan mahkamah dengan dikawal anggota polis pada jam 9 pagi.
Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Mohd Noh dalam kenyataan media memberitahu suspek ditahan di Felda Ayer Hitam pada jam 11 pagi Rabu.
Ia susulan laporan yang diterima pihaknya mengenai seorang wanita berusia lingkungan 50-an yang terbaring tidak sedarkan diri dengan kesan tikaman di bahagian badan mangsa.
Mangsa dilaporkan meninggal dunia setelah dihantar ke Hospital Besar Enche' Besar Hajjah Kalsom dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!