Rasuah ADUN Sabah: Wira Warisan gesa Hajiji, ADUN letak jawatan

Terence Au
Terence Au
A
A
A

KOTA KINABALU - Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor dan semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang terpalit dengan skandal rasuah melalui pendedahan video daripada sebuah portal berita digesa supaya meletakkan jawatan.

Ketua Wira Parti Warisan (Warisan), Terence Au berkata, Wira Warisan mengikut rapat kes tersebut yang didedahkan bermula November lalu.

"Pendedahan beberapa klip video yang melibatkan ADUN daripada Gabungan Rakyat Sabah (GRS) adalah sesuatu yang sangat mendukacitakan dan menjatuhkan maruah keseluruhan rakyat sabah.

"Wira Warisan Sabah menyeru semua ADUN yang terlibat dalam skandal ini agar mengambil langkah terhormat dengan meletakkan jawatan mereka sebagai menteri, pembantu menteri atau pengerusi syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dengan serta-merta.

"Malah Ketua Menteri juga wajar untuk mengambil tindakan sama. Langkah ini penting untuk menunjukkan komitmen terhadap integriti dan tanggungjawab kepada rakyat serta menunjukkan bahawa mereka tidak menyembunyikan sesuatu di sebalik kedudukan mereka," katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Katanya lagi, tindakan itu juga bagi memberi ruang kepada pihak berkuasa menjalankan siasatan menyeluruh tanpa perlu diganggu-gugat oleh mana-mana pihak yang berkepentingan.

"Wira Warisan Sabah juga berpendapat bahawa, tindakan itu juga perlu diambil bagi menunjukkan kesungguhan kerajaan dalam membanteras rasuah.

"Ia sesuai dengan komitmen kerajaan negeri yang telah melaksanakan sambutan Hari Antirasuah Antarabangsa (HARA) peringkat Zon Sabah pada 1 Disember lalu," katanya.

Artikel Berkaitan:

Dakwanya, Wira Warisan Sabah melihat wujud layanan berat sebelah terhadap pemimpin politik.

"Ketidakselarasan dalam tindakan undang-undang terhadap pemimpin politik mencetuskan persepsi berat sebelah apabila ada sesetengah pemimpin ditahan dan direman dengan segera.

"Tetapi tindakan tersebut tidak dilaksanakan terhadap sesetengah pemimpin politik, jadi ia mewujudkan persepsi bahawa undang-undang hanya tegas kepada pihak tertentu sahaja.

"Rakyat ingin melihat bahawa undang-undang dilaksanakan secara adil dan saksama, tanpa mengira pangkat, kedudukan ataupun latar belakang parti politik mereka," katanya.

Sehubungan itu, Wira Warisan berharap isu berkaitan rasuah dapat ditangani dengan langkah yang telus dan tegas.

"Ketelusan amat penting dalam memastikan kepercayaan terhadap sistem keadilan dan integriti negara terus terpelihara. Rakyat Sabah juga menaruh harapan tinggi agar undang-undang dilaksanakan secara adil, tanpa mengira pangkat, kedudukan, atau latar belakang politik.

"Keputusan yang adil dan saksama adalah kunci untuk memastikan kepercayaan masyarakat terhadap sistem perundangan negara.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!