Juruwang maut ditikam: Wanita warga China ditahan
KUALA LUMPUR - Seorang wanita warga China ditahan kerana disyaki terbabit dalam kes seorang juruwang maut akibat ditikam di restoran tempat mangsa bekerja di Cheras di sini, pada Jumaat.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd Isa berkata, suspek berusia 34 tahun itu ditahan pada jam 4.30 petang di KL Sentral di sini, pada Rabu.
"Sebelum ini, kita telah menahan seramai tujuh individu termasuk dua wanita, kita akan memohon lanjutan reman setelah tempoh reman tamat pada esok (Jumaat)," katanya dalam kenyataan pada Khamis.
Rusdi berkata, hasil bedah siasat mendapati punca kematian mangsa adalah kecederaan pada paru-paru sebelah kiri dan pendarahan.
"Motif kejadian masih belum dapat dipastikan lagi," ujarnya.
Pada Selasa, Sinar Harian melaporkan 10 individu telah dirakam keterangan bagi membantu siasatan berkaitan kes tersebut.
Pada Sabtu, media melaporkan wanita warga China berusia 49 tahun maut dipercayai ditikam dengan pisau, di restoran berkenaan.
Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Aidil Bolhassan dilaporkan berkata, hasil pemeriksaan awal menemui antara empat hingga lima kesan tikaman pada tubuh mangsa dalam kejadian dianggarkan berlaku antara jam 3 hingga 4 petang itu.
mangsa kemudian disahkan meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke hospital dengan menaiki ambulans.
Susulan itu, polis menahan tujuh suspek terdiri daripada rakan sekerja mangsa berusia 19 hingga 65 tahun untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan, iaitu bunuh.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!