'Saya turut disiku, gigi saya patah' - Muniz terkilan dilayangkan kad kuning
PEMAIN import Johor Darul Ta'zim (JDT), Juan Muniz terkilan apabila dilayangkan kad kuning pada aksi Liga Juara-Juara Asia Elit (ACLE) Kumpulan Zon Timur berdepan Buriram United di Stadium Sultan Ibrahim, pada Selasa.
Menurut pemain kelahiran Sepanyol itu, layangan kad kuning oleh pengadil dari Arab Saudi, Khalid Saleh Alturais itu menyebabkannya digantung satu perlawanan dan tidak akan beraksi menentang kelab dari Australia, Central Coast Mariners pada 11 Februari tahun hadapan.
"Dalam perlawanan itu, saya turut disiku oleh pemain Buriram (United) dan menyebabkan gigi saya patah.
"Tetapi, saya dilayangkan kad kuning tanpa sebarang amaran dan saya mahu memberikan komen mengenai mutu pengadilan dalam perlawanan itu.
"Bagaimanapun, kami mempunyai skuad yang besar dan saya percaya sesiapa sahaja pemain mampu menggalas tugas di posisi tengah pada aksi ACLE seterusnya," katanya.
Mengulas mengenai aksi berdepan Buriram United, Muniz mengakui layangan kad merah terhadap Murilo Henrique pada minit ke-12 telah mengubah corak permainan skuad Harimau Selatan yang perlu berdepan asakan bertali arus pelawat bagi tempoh 25 minit permainan.
"Kad merah mengubah segalanya tetapi kami berjaya mengimbangi semula permainan.
"Pada babak kedua permainan kami mempunyai peluang untuk mencipta jaringan cuma nasib tidak menyebelahi kami. Apa pun satu mata yang diraih sudah memadai.
"Lagi pun ada baki dua perlawanan lagi dan perlawanan di Australia nanti amat penting untuk kami meraih tiga mata di sana dan itu adalah sasaran kami," katanya.
Sementara itu, Muniz mengucapkan terima kasih kepada semua penyokong yang menjadi pembakar semangat dan motivasi kesemua barisan pemain mengharungi kempen ACLE kali ini.
"Penyokong sentiasa memenuhi stadium pada aksi ACLE, malah mereka memberikan kami semangat.
"Mereka umpama pemain ke-12 dan kami dapat merasainya. Terima kasih kepada semua penyokong," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!