'Jika Sanusi cakap elok-elok, orang akan bantu' - Mahdzir

Datuk Seri Mahdzir Khalid
Datuk Seri Mahdzir Khalid
A
A
A

ALOR SETAR - Pengerusi UMNO Kedah, Datuk Seri Mahdzir Khalid melihat tiada isu bagi kerajaan Persekutuan untuk membantu negeri Kedah dalam kerja-kerja pembaikan infrastruktur pasca banjir.

Menurutnya, beliau percaya Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan membantu Kedah dalam pengurusan pasca banjir.

Bagaimanapun, beliau menasihatkan Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor agar mengurangkan kritikannya terhadap kerajaan Persekutuan.

"Saya tidak nampak mengapa kerajaan Persekutuan tidak boleh membantu. Bila orang nak tolong, kita jangan sombong sangat, cakap bagi elok sikit, tetapi saya rasa MB Kedah perlu berkelakuan lebih baik. Saya rasa jika dia cakap elok-elok, orang akan lebih cenderung membantu.

"Saya rasa PM juga ingin membantu tetapi dia (Sanusi) selalu 'bantai' (kritik kerajaan Persekutuan),” katanya pada sidang media petang Rabu.

Mahdzir pada sidang akhbar pada petang Rabu.
Mahdzir pada sidang akhbar pada petang Rabu.

Beliau berkata demikian selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Barisan Nasional (BN) negeri di Bangunan Tunku di sini.

Beliau berkata demikian mengulas kenyataan Muhammad Sanusi yang berharap kerajaan Persekutuan mempertimbangkan untuk membantu Kedah selepas satu lagi episod banjir yang menyebabkan kerosakan besar kepada infrastruktur di negeri itu.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, beliau yakin Kedah akan mendapat perhatian Perdana Menteri berdasarkan hubungan baik antara kedua-dua pihak.

Mengulas lanjut, Mahdzir berkata, kerajaan Persekutuan sebenarnya telah membantu negeri-negeri sebelum banjir berlaku baru-baru ini.

“Saya percaya kerajaan Persekutuan telah membantu Kedah dalam persiapan menghadapi banjir selepas MetMalaysia (Jabatan Meteorologi Malaysia) mengeluarkan amaran cuaca (hujan lebat berterusan) sebelum bencana itu.

"Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) yang dipengerusikan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi telah menyediakan semua keperluan di pusat pemindahan sementara seperti khemah partition, tilam mudah alih dan sebagainya.

"Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) menyediakan makanan untuk mangsa banjir, semua ini memerlukan bajet yang besar. Anggota bomba, polis dan agensi penyelamat lain juga bersiap sedia. Maksudnya, semua agensi persekutuan telah bersiap sedia untuk memberikan bantuan sebelum bencana itu berlaku,” ujarnya.

Tambahnya, selepas banjir surut, terdapat kerosakan kepada infrastruktur awam seperti klinik, hospital, balai polis dan jalan raya.

Menurut beliau, semua ini memerlukan bajet daripada kerajaan Persekutuan dan berkenaan rumah mangsa banjir yang rosak, Kementerian Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah serta Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan akan memberikan bantuan untuk kerja-kerja pembaikan.

Sementara itu, Mahdzir berkata, BN Kedah akan menganjurkan konvensyen peringkat negeri pada 14 Disember di Sungai Petani dan dijangka dirasmikan oleh Ahmad Zahid.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!