Pecah amanah RM8 juta: Vivy Yusof, suami dibenar ikat jamin RM100,000 seorang

Datin Vivy Yusof (kanan) dan suaminya, Datuk Fadzaruddin Shah Anuar (kiri) tiba di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur bagi menghadapi pertuduhan kes pecah amanah Khazanah Nasional Berhad (Khazanah) dan Permodalan Nasional Berhad (PNB) dalam platform e-dagang itu pada Khamis. Foto Bernama
Datin Vivy Yusof (kanan) dan suaminya, Datuk Fadzaruddin Shah Anuar (kiri) tiba di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur bagi menghadapi pertuduhan kes pecah amanah Khazanah Nasional Berhad (Khazanah) dan Permodalan Nasional Berhad (PNB) dalam platform e-dagang itu pada Khamis. Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR – Mahkamah Sesyen di sini pada Khamis membenarkan pengasas platform e-dagang FashionValet, Datin Vivy Yusof dan suaminya, Datuk Fadzarudin Shah Anuar dilepaskan sementara dengan ikat jamin sebanyak RM100,000.

Hakim, Rosli Ahmad memutuskan demikian selepas mendengar permohonan daripada pihak pendakwaan dan pembelaan bagi satu kes pecah amanah dana pelaburan Khazanah Nasional Berhad (Khazanah) dan Permodalan Nasional Berhad (PNB) bernilai RM8 juta, yang dihadapi Vivy, 37, dan Fadzarudin, 36.

Semasa rayuan, Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin pada mulanya membantah kedua-dua tertuduh diberi ikat jamin.

Menurutnya, ia disebabkan kes yang dihadapi Vivy atau nama sebenarnya Vivy Sofinas Yusof termasuk dalam kesalahan yang tidak boleh dijamin.

Bagaimanapun beliau mengakui, pasangan itu telah memberi kerjasama baik kepada pihak SPRM sejak awal kes ini disiasat.

Susulan itu, beliau mencadangkan setiap tertuduh diberi ikat jamin antara RM100,000 hingga RM200,000.

Pendakwaan turut mencadangkan kedua-dua tertuduh memenuhi syarat tambahan, iaitu melaporkan diri di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di sini, sekali setiap bulan.

Artikel Berkaitan:

“Kami juga memohon tertuduh menyerahkan pasport kepada mahkamah sehingga kes selesai dan tidak mengganggu saksi-saksi pendakwaan kerana kebanyakannya terlibat dengan FashionValet Sdn Bhd.

“Mereka memang beri kerjasama kepada SPRM iaitu hadir setiap kali dipanggil memberi keterangan kerana ketika itu mereka merupakan saksi kes namun sekarang status itu telah bertukar kepada tertuduh,” katanya.

Sementara itu, kedua-dua tertuduh yang diwakili peguam, Ashok Athimulan berkata, amaun yang dicadangkan pihak pendakwaan adalah tinggi.

Katanya, jumlah sehingga RM200,000 yang dicadangkan pendakwaan ini, seolah-olah menghukum anak guam, sedangkan perbicaraan belum bermula.

"Saya tidak membantah syarat tambahan, namun mohon jaminan pada kadar rendah dan munasabah dengan mengambil kira mereka telah hadir sebanyak sambilan kali ke pejabat SPRM ketika siasatan kes.

"Mereka mempunyai empat anak yang bersekolah di sini, termasuk keluarganya menetap di ibu negara, sekali gus menunjukkan mereka tidak mempunyai risiko untuk melarikan diri maka tiada keperluan untuk mahkamah menetapkan jumlah jamin yang tinggi," katanya.

Ekoran kes ini peguam terbabit berkata, anak guamnya mengalami kekangan kewangan selepas aset mereka dibekukan, sehingga terpaksa bergantung kepada ahli keluarga dan rakan lain untuk bayar wang jaminan.

Selepas mendengar permohonan daripada kedua-dua pihak, Rosli membenarkan setiap tertuduh diberi ikat jamin sebanyak RM100,000 dengan seorang penjamin dan memenuhi syarat tambahan yang dicadangkan pihak pendakwaan.

Mahkamah menetapkan sebutan semula kes 22 Januari tahun depan.

Pada pagi Khamis, mereka didakwa dengan niat bersama sebagai ejen iaitu Pengarah FashionValet, diamanahkan dana pelaburan Khazanah dan PNB, telah melakukan pecah amanah jenayah dengan membuat pembayaran berjumlah RM8 juta dari akaun bank milik syarikat fesyen e-dagang terkemuka ini, ke syarikat 30 Maple Sdn Bhd, tanpa kelulusan Ahli Lembaga Pengarahnya.

Kesalahan didakwa dilakukan di Public Bank Berhad Cawangan Bukit Damansara, Bukit Damansara di sini, pada 21 Ogos 2018.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan, dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama, yang membawa hukuman pemenjaraan antara dua hingga 20 tahun, sebat dan denda, jika sabit kesalahan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!