Pelajar warga China mengaku tidak bersalah culik remaja
JOHOR BAHRU - Seorang pelajar lelaki warga China mengaku tidak bersalah atas pertuduhan menculik remaja perempuan warganegara sama berusia 15 tahun pada November lepas.
Tertuduh, Huang Xiaonan, 22, membuat pengakuan berkenaan di hadapan Majistret R Salini, setelah pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah dalam bahasa Mandarin.
Xiaonan didakwa melakukan perbuatan tersebut di sebuah hotel di Jalan Station di sini, sekitar jam 4.08 petang, 24 November lalu.
Mengikut pertuduhan, lelaki berkenaan yang masih belajar di sebuah universiti di Singapura didakwa menculik remaja perempuan itu dengan niat supaya mangsa dikurung secara rahsia.
Justeru, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 365 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun dan denda jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nur Ameerah Allauddeen manakala tertuduh diwakili Peguam Goh Pok Gek.
Mahkamah tidak membenarkan tertuduh diikat jamin dan menetapkan 27 Januari depan bagi tarikh sebutan semula kes berkenaan dan serahan dokumen.
Terdahulu, Ketua Polis Johor, M Kumar dalam satu kenyataan berkata, pihaknya berjaya menyelamatkan mangsa yang dipercayai dilarikan seorang lelaki warga China di Kuantan, Pahang, bulan lalu.
Polis sebelum itu menerima laporan berhubung kejadian tersebut daripada bapa mangsa yang juga warga China mengenai anaknya tidak hadir ke sekolah di Singapura dan dipercayai telah dilarikan individu tidak dikenali.
Hasil semakan kemudiannya mendapati mangsa telah dibawa masuk ke Malaysia melalui Woodlands, Singapura sebelum polis berjaya menyelamatkan mangsa dan menahan suspek di lokasi sama.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!