Perak beri bonus RM14,000 kepada semua pusat khidmat ADUN

Saarani ketika menggulung perbahasan Belanjawan Negeri Perak 2025 di sini pada Khamis.
Saarani ketika menggulung perbahasan Belanjawan Negeri Perak 2025 di sini pada Khamis.
A
A
A

IPOH - Kerajaan Perak mengumumkan Bantuan Khas Kewangan (BKK) sebanyak dua bulan bagi bayaran elaun Pengurusan Pusat Khidmat berjumlah RM14,000 kepada semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN).

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, pemberian itu diberikan sebagai ganti BKK kepada semua ADUN yang tidak diberikan pada tahun ini.

"Semasa saya mengumumkan BKK dua bulan gaji pada 29 November yang lalu, saya tidak menyebutkan BKK untuk ADUN-ADUN walaupun saya faham ADUN-ADUN dalam WhatsApp group bertanya berbincang tetapi saya minta maaf kali ini saya tak dapat berikan kepada ADUN-ADUN.

"Sebagai gantinya saya bersetuju untuk menyalurkan BKK kepada pusat khidmat. Pusat khidmat akan dapat dua bulan elaun pusat khidmat bermakna kita akan bayar RM14,000 kepada pusat khidmat ADUN masing-masing," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap menggulung perbahasan Belanjawan Negeri Perak 2025 sempena Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak di sini pada Khamis.

Saarani berkata, melalui pemberian BKK itu diharap semua ADUN dapat meneruskan khidmat kepada pengundi dan rakyat di kawasan masing-masing terutama ketika musim banjir ini.

Pada 29 November lalu, kerajaan negeri mengumumkan BKK sebanyak dua bulan gaji kepada semua penjawat awam di negeri ini dalam Belanjawan Negeri Perak 2025.

BKK tersebut juga akan turut dinikmati exco kerajaan negeri, ex-officio, semua guru lantikan negeri, Orang Besar Jajahan, ketua-ketua kampung serta kakitangan di bawah kontrak Program Malaysia Short-term Employment Programme (MySTEP).

Artikel Berkaitan:

Pemberian tersebut berdasarkan gaji pokok November 2024 yang akan dibuat pada minggu terakhir bulan Disember 2024.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!