GISBH: Lebih 130 kanak-kanak belum dituntut
TUMPAT - Lebih 130 anak-anak bekas anggota GISBH Holdings Sdn Bhd (GISBH) kini tidak dituntut ibu bapa mereka berikutan takut tampil bertemu pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) selain berdepan masalah kewangan.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, mungkin ada ibu bapa yang bimbang akan ditangkap jika datang untuk berbincang untuk mengambil anak-anak mereka.
"Mereka takut sebab bimbang akan melibatkan polis tetapi sebenarnya yang ditahan itu ada kesalahan lain. Sepatutnya mereka tidak perlu takut," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan lawatan di pusat pemindahan sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan Sri Tumpat di sini pada Rabu.
Nancy memberitahu, ada juga ibu bapa yang tidak berkemampuan dari segi ekonomi untuk membayar kos peguam untuk menuntut anak-anak di bawah jagaan JKM.
"Kita ada menghubungi mereka tetapi tidak menjawab telefon," katanya.
Bagaimanapun jelas Nancy, jabatan itu perlu mengembalikan semula kanak-kanak terbabit kerana ada tempoh tertentu yang diperintahkan oleh mahkamah.
"Kita perlu melalui proses mahkamah untuk memohon dan melindungi kanak-kanak terbabit selain perlu ada prosedur khusus untuk menyerahkannya kepada ibu bapa," katanya.
Tambah Nancy, pihaknya juga perlu mendapatkan perintah mahkamah untuk mendapatkan Orang Yang Layak Dan Sesuai (OYLS) bagi menjaga kanak-kanak terbabit.
Media sebelum ini melaporkan seramai 420 daripada 560 kanak-kanak yang diselamatkan menerusi Op Global sudah diserahkan kepada keluarga termasuk empat kepada OYLS.
Sejak Op Global fasa pertama bermula awal September lalu, seramai 415 individu termasuk pengurusan tertinggi GISBH ditahan manakala 625 mangsa berusia dua bulan hingga 28 tahun berjaya diselamatkan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!