Perak lulus belanjawan RM1.52 bilion
IPOH - Belanjawan Negeri Perak 2025 berjumlah RM1.52 bilion diluluskan secara sebulat suara selepas dibentang dan dibahas selama lima hari sempena Mesyuarat Ketiga, Tahun Kedua Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak di sini pada Khamis.
Usul yang diluluskan di bawah Enakmen Perbekalan 2025 itu mendapat sokongan 58 ADUN tanpa sebarang bantahan manakala hanya seorang ADUN iaitu Razman Zakaria (PN-Gunung Semanggol) tidak hadir kerana masalah kesihatan.
Sepanjang perbahasan selama dua hari bermula Isnin, 45 ADUN telah berbahas iaitu masing-masing 19 orang mewakili kerajaan dan 26 dari blok pembangkang.
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad membuat penggulungan perbahasan belanjawan tersebut dengan menjawab pelbagai soalan dikemukakan oleh ADUN-ADUN ketika sesi perbahasan.
Terdahulu, Speaker DUN Perak, Datuk Mohammad Zahir Abdul Khalid meminta semua ADUN yang menyokong belanjawan tersebut menyatakan persetujuan.
58 ADUN kemudiannya menyatakan persetujuan secara sebulat suara terhadap belanjawan berkenaan.
Mohammad Zahir kemudiannya mengumumkan Belanjawan Perak 2021 diluluskan pada bacaan kali kedua dan kali ketiga.
Pada 29 November lalu, kerajaan negeri mengumumkan belanjawan terbesar dalam sejarah bagi tahun 2025 berjumlah RM1.52 bilion.
Meneruskan tema Perak Makmur, Rakyat Sejahtera, belanjawan kali ini mencatatkan peningkatan sebanyak RM170 juta berbanding tahun lalu hanya RM1.35 bilion meliputi perbelanjaan mengurus sebanyak RM981.8 juta manakala perbelanjaan pembangunan berjumlah RM538 juta.
Peruntukan belanjawan kali ini menumpukan kepada lima fokus utama iaitu Kesejahteraan Rakyat, Tadbir Urus Projek Berkepentingan Negeri, Pembangunan Modal Insan dan Belia, Kelestarian Alam Sekitar serta Keterjaminan Bekalan Makanan.
Sementara itu, pada persidangan sama, DUN Perak turut membuat pemilihan Ahli Dewan Negara mewakili negeri Perak.
Usul pemilihan Ahli Dewan Negara itu dibawa oleh Saarani (BN-Kota Tampan) yang kemudian disokong oleh Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin (PH-Sungai Rapat).
Calon pertama, Ismail Arifin merupakan Bendahari Pas Perak dicadangkan Mohd Akmal Kamarudin (PN-Selama) yang kemudian disokong Datuk Zainol Fadzi Paharudin (PN-Sungai Manik).
Blok kerajaan yang diketuai Saarani kemudiannya mengemukakan nama Ketua UMNO Bahagian Ipoh Barat, Datuk Shamsuddin Abd Ghaffar sebagai calon Ahli Dewan Negara kedua.
Semua ADUN kemudiannya diberikan kertas undi untuk memilih salah seorang daripada calon berkenaan dan keputusan memihak kepada Shamsuddin apabila mendapat 33 undi berbanding Ismail yang hanya memperoleh 25 undi.
Dalam persidangan kali ini, dua ADUN iaitu Razman dan Muhamad Arafat Varisai Mahamad turut dihadapkan ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Dewan Negeri Perak apabila Jason Ng Thien Yeong (PH-Astaka) dan Muhammad Hakimi Hamzi Mohd Hayat (Pas-Titi Serong) mengemukakan usul membawa mereka ke jawatankuasa berkenaan berdasarkan kepada Perintah Tetap Peraturan 40(3)(a) dan (b).
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!