Tabung anak yatim kena rembat

Mohd Ridzwan.
Mohd Ridzwan.
A
A
A
KEMAMAN - “Tabung ini untuk anak yatim, tergamak pencuri itu pecahkannya dan larikan duit,” kata pemilik kafe dan kedai dobi layan diri, Mohd Ridzwan Mohd Hanaffi, 31.

Mangsa hanya mampu terpaku melihat tabung itu pecah dan wang tunai dianggarkan sebanyak RM400 yang terdapat dalam tabung itu lesap selepas kafenya di Bandar Baru Kerteh dipecah masuk kira-kira jam 1.40 tengah hari, kelmarin.

Mohd Ridzwan hanya menyedari kejadian itu selepas memeriksa rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di kedainya sebelum membuat laporan polis.

“Dari rakaman CCTV tu saya nampak seorang lelaki masuk ke kedai dobi dalam keadaan mencurigakan dan kemudian dekati pintu kafe.

“Lepas itu dia keluarkan pemutar skru, cungkil pintu kafe beberapa kali dan akhirnya dapat pecah masuk ke dalamnya sebelum memanjat kaunter dan pecahkan sebuah tabung,” katanya.

Katanya, lelaki itu kemudian mengutip duit di dalam tabung berkenaan sebelum memecahkan sebuah lagi tabung bersebelahan.

“Tapi pencuri itu nampak macam tergesa-gesa. Dia tak sempat ambil duit dari tabung kedua sebaliknya terus keluar dari kafe itu dan larikan diri,” katanya.

Tabung diletakkan di bahagian kiri kaunter kafe.
Tabung diletakkan di bahagian kiri kaunter kafe.

Menurut Mohd Ridzwan, kedai dobinya beroperasi 24 jam sehari manakala kafenya pula dibuka bermula jam 5.30 petang dan sudah menjadi rutinnya untuk memeriksa rakaman CCTV untuk melihat pergerakan pelanggan kedai dobinya setiap hari.

Tambahnya, kutipan derma tabung itu adalah untuk sebuah pertubuhan anak yatim di Bangi, Selangor dan sepatutnya dia menyerahkan hasil kutipan itu kepada pihak pengurusan pertubuhan itu yang datang sendiri untuk mengutip hasilnya pada akhir bulan ini.

“Sedih dan kecewa sangat sara rasa sebab derma untuk anak yatim itu sepatutnya diberikan kepada yang berhak dan bukan kepada pencuri itu,” katanya.
Artikel Berkaitan:


Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Mohd Said Ibrahim ketika dihubungi mengesahkan mangsa membuat laporan polis di Balai Polis Kerteh.

Kata beliau, suspek kini sedang dikesan kerana rakaman CCTV berjaya merakam wajah lelaki itu.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai suspek dialu-alukan untuk membantu siasatan dan boleh datang ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) atau menghubungi bilik gerakan IPD Kemaman di talian 09-8592222,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!