Tanah runtuh: Harga sayuran naik sekali ganda di Terengganu

Jalan Aring 8-Kenyir-Kuala Jeneris di Jalan Tasik Kenyir dekat Hulu Terengganu ditutup selepas runtuh kira-kira 100 meter ketika hujan lebat baru-baru ini.
Jalan Aring 8-Kenyir-Kuala Jeneris di Jalan Tasik Kenyir dekat Hulu Terengganu ditutup selepas runtuh kira-kira 100 meter ketika hujan lebat baru-baru ini.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Insiden tanah runtuh melibatkan laluan Jalan Aring 8-Kenyir-Kuala Jeneris di Jalan Tasik Kenyir dekat Hulu Terengganu memberi kesan terhadap bekalan dan harga sayuran di negeri ini.

Laluan yang menghubungkan Terengganu dengan kawasan tanaman sayur di tanah tinggi Cameron Highlands terjejas selepas ia runtuh kira-kira 100 meter ketika banjir buruk melanda minggu lalu.

Pemborong sayur, Mohd Nazir Manaf berkata, perjalanan membawa barangan itu lebih lama kerana pemandu lori sayur terpaksa melalui jalan Kuala Krai, Kelantan sebelum sampai ke Kuala Terengganu.

"Perjalanan membawa sayur dari Cameron Highlands ke sini (Kuala Terengganu) hanya memakan masa selama enam jam bagi perjalanan sehala, namun selepas laluan itu runtuh, jarak perjalanan lebih jauh dengan tambahan masa satu jam.

"Biasanya lori akan bergerak jam 8.30 pagi dan tiba di sana (Cameron Highlands) sekitar jam 2 petang. Tempoh mengambil barangan dari pembekal juga ambil masa.

"Biasanya lori akan sampai semula ke Kuala Terengganu dalam jam 1 pagi, namun, apabila melalui jalan jauh, mereka akan sampai ke sini dalam jam 2 pagi," katanya ketika ditemui di Pasar Borong Gong Pauh, di sini pada Khamis.

Dalam pada itu, katanya bencana banjir juga memberi kesan terhadap sayuran menyebabkan kebanyakan harga barangan itu naik sekali ganda.

"Selain masalah tanah runtuh, harga sayur musim banjir ini akan naik disebabkan banyak faktor.

Artikel Berkaitan:

"Sayur ditanam petani setempat juga naik kerana terdapat tanaman yang musnah menyebabkan bekalan berkurangan dan tidak mampu menampung permintaan tinggi," ujarnya.

Sementara itu, pemborong dan peruncit, Mohd Samsul Bahri Abdullah, 55, berkata, runtuhan yang berlaku menyebabkan kos minyak juga bertambah dan mempengaruhi harga sayuran.

"Insiden yang berlaku memberi kesan sebab barang diambil di Cameron Highlands, bila lalu jalan jauh kos minyak sudah pasti meningkat.

"Tambang laluan sehala untuk lori balik sekali dengan pemandu sebelum ini RM650, sekarang naik kepada RM1,000 hingga RM1,200, lebih-lebih lagi apabila musim banjir," katanya.

Jelas Mohd Samsul Bahri, harga kebanyakan sayur juga meningkat sekali ganda antara 90 hingga 100 peratus berbanding harga asal sebelum ini.

Siti Faridah melayan pelanggan yang membeli sayur di Pasar Borong Gong Pauh di Kuala Terengganu.
Siti Faridah melayan pelanggan yang membeli sayur di Pasar Borong Gong Pauh di Kuala Terengganu.

Seorang lagi pemborong, Siti Faridah Mohamad, 34, berkata, kenaikan harga sering berlaku setiap kali musim banjir kerana terdapat tanaman musnah sekali gus menjejaskan bekalan.

"Harga runcit kailan dan sawi hari ini ialah RM10 untuk satu kilogram (kg) berbanding RM5 sahaja sebelum banjir.

"Begitu juga dengan harga sayur yang lain seperti bayam (RM8), daun sup (RM15), daun bawang (RM12), salad pokok (RM15) dan kacang panjang (RM13), semuanya naik hampir sekali ganda," ujarnya.

Menurut Siti Faridah, mereka tiada pilihan selain terpaksa menaikkan harga kerana belian borong daripada pembekal di Cameron Highlands juga meningkat.

Sebelum ini, Jalan Aring 8-Kenyir-Kuala Jeneris di Jalan Tasik Kenyir dekat Hulu Terengganu ditutup sepenuhnya akibat tanah runtuh, berikutan dilanda hujan lebat.

Jalan tersebut dijangka ditutup lebih lama bagi proses pembaikan berikutan runtuhan yang berlaku sepanjang 100 meter itu agak serius.

Ketua Polis Hulu Terengganu, Deputi Superintenden Zainul Mujahidin Mat Yudin berkata, penghadang konkrit diletakkan bagi mengelakkan terdapatnya pemandu kenderaan yang masih berdegil untuk melalui kawasan tersebut.

Tindakan itu diambil, kerana masih terdapat segelintir pemandu yang melalui jalan tersebut walaupun papan tanda jalan ditutup sepenuhnya telah diletakkan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!