SPAN gesa kerajaan Selangor, pihak berkuasa serbu kilang di Kuang
CYBERJAYA - Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) menggesa kerajaan Selangor dan pihak berkuasa alam sekitar menyerbu dan membuat pemeriksaan kilang di kawasan Kuang untuk memastikan premis tidak membuang sisa ke dalam anak sungai yang mengalir ke Sungai Selangor.
Pengerusi SPAN, Charles Santiago berkata, gesaan itu dibuat susulan siasatan oleh jawatankuasa khas (JKK) mendapati bahawa berlaku pencemaran disebabkan pelanggaran undang-undang oleh penyewa utama premis menyebabkan berlaku gangguan bekalan air tidak berjadual kepada kira-kira 1,141 kawasan di Selangor selama seminggu.
Menurutnya, berdasarkan siasatan, kebocoran bahan kimia Poly Methacrylic Acid (PMAA) oleh sebuah kilang kitar semula plastik dipercayai milik seorang warganegara China yang menjalankan perniagaan secara tidak sah menjadi punca pencemaran bau di Sungai Kuang, Selangor pada 22 Julai lalu.
“Penyewa utama premis ini membenarkan penyewa sub iaitu pemilik kilang warga asing ini untuk menyewa premis tersebut walaupun kedua-dua syarikat mempunyai operasi perniagaan yang sama iaitu berasaskan kitar semula sisa plastik.
"Penyewa utama yang mempunyai lesen perniagaan pihak berkuasa tempatan (PBT) dan laporan Penilaian Kesan Awal Kepada Alam Sekeliling (EIA) membenarkan penyewa sub menggunakannya tanpa kebenaran PBT serta Jabatan Alam Sekitar (JAS).
“Selain itu, tiada maklumat dari pelan yang diluluskan oleh PBT berhubung pembinaan culvert dalam premis bersebelahan dan ada kemungkinan kedua-dua perniagaan ini berkait dan penyewa utama menggunakan penyewa sub sebagai satu proksi untuk melaksanakan aktiviti yang tidak dibenarkan dalam lesen perniagaan mereka,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika sidang akhbar mengenai Insiden Gangguan Bekalan Air Akibat Pencemaran Air Mentah di Sungai Kuang di SPAN di sini pada Khamis.
Hadir sama, Pengarah Kanan Bahagian Penguatkuasaan, Kirupakaran Visuvakingam serta Anggota Suruhanjaya SPAN, Derek John Fernandes dan Datuk Mohd Azmi Ismail.
Mengulas lanjut, Santiago berkata, susulan insiden berkenaan, pengoperasian empat loji rawatan air (LRA) iaitu Rantau Panjang serta Sungai Selangor Fasa 1, 2 dan 3 (SSP1, SSP2 dan SSP3) terpaksa dihenti tugas secara sementara oleh operator air pada 23 Julai lalu.
“Pada 2024, SPAN merekodkan sebanyak empat daripada 20 insiden pencemaran air mentah di Selangor yang menyebabkan henti tugas loji rawatan air termasuklah kejadian di Sungai Kuang ini,” ujarnya.
Dalam pada itu, menurut Santiago, pelaksanaan pengauditan secara berkala perlu dilakukan bagi memastikan pematuhan kepada syarat-syarat yang ditetapkan bagi kelulusan kilang tanpa kebenaran (KTK) yang diberikan.
Beliau berkata, penguatkuasaan undang-undang juga perlu lebih tegas dengan melakukan pemeriksaan di premis secara fizikal bagi setiap permohonan baharu dan pembaharuan lesen perniagaan.
“Pemeriksaan bersasar wajar dilakukan secara berkala oleh JAS behubung kelulusan laporan EIA dan mengetatkan kawalan pelepasan sisa ke dalam sungai.
“SPAN memohon supaya kerajaan negeri mengetuai pasukan yang terdiri daripada PBT, JAS dan Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) untuk melaksanakan pemeriksaan ke atas setiap kilang atau premis perniagaan berasaskan kitar semula sisa plastik khususnya kawasan berisiko tinggi,” katanya lagi.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!