'Barangan masakan ada, tapi tiada yang sudi bantu memasak'
BACHOK - [DIKEMAS KINI] Sudah dua hari berlalu, hanya tiga orang yang tampil membantu Persatuan Pembangunan dan Kebajikan Rakyat Mukim Kandis Bachok (PERAPAK) untuk menyediakan masakan seterusnya diagihkan kepada mangsa pasca banjir di negeri ini.
Lebih menyedihkan, hasrat menyediakan makanan kepada mangsa pasca banjir terpaksa ditangguhkan walaupun barangan basah seperti ayam dan sayur- sayuran sudah tersedia ekoran kekurangan tenaga sukarela yang sudi membantu.
Setiausaha PERAPAK, Mohd Al-Amin Mohd Razali berkata, beliau telah berusaha untuk mengajak orang ramai menjadi sukarelawan, namun tiada yang sudi.
"Ini bukan kali pertama kami menyediakan makanan untuk mangsa banjir. Sejak dari tahun 2022 lagi.
"Kali ini tiada yang sudi bantu, sehingga terpaksa ditangguhkan dua kali dan simpan balik barangan masakan," katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.
Menurut beliau, dalam keadaan sekarang mangsa banjir akan pulang ke rumah dan melakukan kerja-kerja mencuci serta mengemas kediaman masing-masing.
"Mereka (mangsa pascabanjir) tidak perlu fikirkan soal hendak beli atau memasak makanan dalam keadaan barangan dapur ditenggelami banjir.
"Disebabkan itu PERAPAK mengajak orang ramai menjadi sukarelawan untuk memasak makanan bagi diagihkan kepada mangsa pasca banjir.
"Sekarang ini hanya ada tiga orang penduduk kampung yang sudi menjadi sukarelawan untuk memasak makanan kemudian diagihkan ke beberapa kawasan terjejas banjir di seluruh Kelantan," katanya yang menjadikan Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) Bachok, Tangok sebagai pusat operasi.
Menurut beliau, barangan masakan tersebut disumbangkan oleh orang ramai terutama ahli keluarga, sahabat handal dan kenalan.
"Kami hanya memerlukan bantuan untuk memasak, diharap ada yang sudi datang membantu kerana dengan kudrat empat orang rasanya tidak mencukupi," katanya.
Menurut beliau, sumbangan makanan ini bukan sahaja disumbangkan kepada mangsa pasca banjir tetapi turut diagihkan kepada anggota keselamatan yang bertugas.
Ujarnya, orang ramai yang sudi membantu boleh menghubungi di talian 014-3125418.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!