[VIDEO] Hakim baharu dengar bicara bela diri Bung Moktar, Zizie Izette

A
A
A

KUALA LUMPUR – Prosiding bela diri Ahli Parlimen Kinabatangan, Datuk Seri Bung Moktar Radin dan isterinya, Datin Seri Zizie Izette Abdul Samad atas tiga pertuduhan rasuah berjumlah RM2.8 juta berkaitan pelaburan Felcra Bhd, akan didengar hakim lain.

Hakim, Rosli Ahmad akan memutuskan kes bela diri Bung Moktar, 65, dan Zizie Izette, 46, selepas hakim terdahulu, Rozina Ayob berpindah ke agensi lain.

Bung Moktar dan Zizie Izette hadir ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada Khamis, bagi prosiding tiga kes rasuah membabitkan RM2.8 juta berkaitan pelaburan Felcra Bhd. FOTO SINAR HARIAN-ROSLI TALIB
Bung Moktar dan Zizie Izette hadir ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada Khamis, bagi prosiding tiga kes rasuah membabitkan RM2.8 juta berkaitan pelaburan Felcra Bhd. FOTO SINAR HARIAN-ROSLI TALIB

Susulan itu, semasa prosiding, Timbalan Pendakwa Raya, Law Chin How memohon mahkamah menetapkan tarikh perbicaraan bela diri baharu.

“Hari ini ditetapkan untuk sebutan kes, berhubung keputusan Mahkamah Rayuan di Putrajaya, pada 18 November lalu.

“Bagi makluman, Mahkamah Rayuan telah mengembalikan kes ini ke Mahkamah Sesyen di sini," katanya yang turut mencadangkan wang jaminan RM100,000 berserta syarat tambahan pasport diserahkan kepada mahkamah, terhadap dua tertuduh, dikekalkan.

Selain Chin How, pendakwaan turut dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Mohamad Fadly Mohd Zamry dan Maziah Mohaide.

Sementara itu, peguam, Datuk Seri K Kumaraendran, Ashok Athimulan dan Ridha Abdah Subri yang mewakili Bung Moktar serta Zizie Izette memberitahu, mereka akan memanggil lima atau enam saksi termasuk suami isteri itu dalam prosiding kelak.

Artikel Berkaitan:

Bung Moktar dan Zizie Izette ketika hadir Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada Khamis. FOTO SINAR HARIAN-ROSLI TALIB
Bung Moktar dan Zizie Izette ketika hadir Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada Khamis. FOTO SINAR HARIAN-ROSLI TALIB

Selepas mendengar permohonan daripada kedua-dua pihak, Rosli kemudiannya menetapkan prosiding bela diri berlangsung selama tujuh hari bermula 9 hingga 11, 14 dan 15 April serta 5 dan 6 Mei tahun depan.

“Mahkamah turut menetapkan 21 Januari tahun sama untuk pengurusan kes dan mengekalkan jaminan RM100,000 dengan seorang penjamin bagi setiap tertuduh,” katanya.

Ia termasuk syarat tambahan, iaitu kedua-dua tertuduh menyerahkan pasport kepada mahkamah.

Pada 18 November lalu, pasangan suami isteri ini diperintahkan membela diri oleh Mahkamah Rayuan atas tiga pertuduhan rasuah RM2.8 juta, berhubung pelaburan RM150 juta Felcra dalam unit amanah Public Mutual Berhad.

Ini bermakna Ahli Parlimen Kinabatangan dan isterinya itu terpaksa menjejakkan kaki ke Mahkamah Sesyen di sini untuk menjawab pertuduhan terhadap mereka.

Keputusan sebulat suara berkenaan dibuat panel tiga hakim diketuai Hakim, Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim, yang bersidang bersama Datuk Mohamed Zaini Mazlan dan Datuk Noorin Badaruddin, selepas membenarkan rayuan pendakwaan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang membebaskan pasangan suami isteri itu, pada 7 September 2023 lalu.

Pada 2 September 2022, Rozina memerintahkan kedua-dua tertuduh ini membela diri atas tiga pertuduhan rasuah itu selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap mereka di akhir kes pendakwaan.

Bung Moktar hadir ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada Khamis, bagi prosiding tiga kes rasuah membabitkan RM2.8 juta berkaitan pelaburan Felcra Bhd. FOTO SINAR HARIAN- ROSLI TALIB.
Bung Moktar hadir ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada Khamis, bagi prosiding tiga kes rasuah membabitkan RM2.8 juta berkaitan pelaburan Felcra Bhd. FOTO SINAR HARIAN- ROSLI TALIB.

Bung Moktar yang ketika itu Pengerusi Bukan Eksekutif Felcra Berhad didakwa pada 3 Mei 2019, dengan dua pertuduhan menerima rasuah RM2.2 juta dan RM262,500 sebagai dorongan untuk mendapatkan kelulusan Felcra melabur RM150 juta dalam unit amanah Public Mutual.

Bung Moktar dituduh menerima rasuah daripada ejen pelaburan Public Mutual Berhad Madhi Abdul Hamid menerusi Zizie Izette di Public Bank Berhad, Cawangan Taman Melawati di sini antara 12.30 tengah hari hingga 5 petang 12 Jun 2015.

Bung Moktar juga dituduh secara rasuah memperoleh untuk dirinya suatu suapan iaitu wang tunai berjumlah RM337,500 daripada ejen pelaburan Public Mutual Berhad Norhaili Ahmad Mokhtar melalui akaun Public Ittikal Sequel Fund (PITSEQ) yang didaftarkan atas nama Zizie Izette bagi tujuan yang sama.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!