Syarikat insurans, pengendali takaful setuju teliti semula kenaikan premium

Lim Hui Ying semasa persidangan Dewan Rakyat pada Khamis.
Lim Hui Ying semasa persidangan Dewan Rakyat pada Khamis.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Syarikat insurans dan pengendali takaful (ITO) sudah memberi jaminan untuk mengambil langkah wajar termasuk meneliti semula cadangan menaikkan harga premium insurans perubatan yang dijangka bermula tahun depan.

Timbalan Menteri Kewangan, Lim Hui Ying berkata, antara komitmen dipersetujui ITO adalah melaksanakan pelarasan semula harga premium secara berperingkat.

Selain itu beliau memaklumkan, ITO menyatakan kesediaan mengadakan talian 'hotline' khusus bagi setiap syarikat untuk menawarkan caruman fleksibel, memberi pilihan untuk pelan perkhidmatan berbeza dan menyediakan mekanisme penyelesaian lebih berkesan.

"Kerajaan peka mengenai kebimbangan penentuan semula harga insurans dan takaful perubatan serta kesihatan oleh penanggung insurans kerana akan memberikan impak kepada pemegang polisi atau peserta takaful.

"ITO dikehendaki menyediakan pilihan penyelesaian bersesuaian untuk pemegang polisi yang sangat terkesan disebabkan peningkatan premium bagi memastikan mereka terus ada perlindungan (takaful atau insurans).

"Butiran lanjut mengenainya akan diumumkan tidak lama lagi," katanya ketika sesi Waktu Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat pada Khamis.

Beliau menjawab soalan tambahan Khoo Poay Tiong (PH-Kota Melaka) mengenai langkah semasa diambil kerajaan bagi mengatasi isu inflasi kos perubatan sehingga ITO bertindak menaikkan kadar premium secara drastik.

Sebelum ini media melaporkan, Bank Negara menerusi kenyataan meminta ITO menyemak strategi penentuan semula harga insurans perubatan serta kesihatan (MHIT) untuk memastikan ia lebih wajar.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu Hui Ying memaklumkan, kerajaan sentiasa terbuka dengan cadangan supaya pengguna kad perubatan dan perlindungan Takaful boleh menukar operator Takaful mereka tanpa kiraan semula tempoh menunggu sebagaimana proses Mobile Number Portability (MNP).

Namun Ahli Parlimen Tanjong itu menjelaskan, terdapat beberapa kekangan dengan mengambil kira perbezaan antara kedua-dua perkhidmatan itu.

"Produk insurans dan takaful perubatan berbeza berbanding nombor telefon bimbit, di mana ia membabitkan pengumpulan risiko jangka panjang dan keperluan tingkah laku pengguna yang ketat.

"Tempoh menunggu bertujuan untuk mencegah penipuan atau penyalahgunaan, iaitu mengelak pemegang polisi yang baru di kenal pasti dengan keadaan perubatan mengambil kesempatan terhadap perlindungan insurans tanpa menyumbang kepada kumpulan risiko terlebih dahulu.

"Ini akan memudaratkan kos tuntutan dan premium sumbangan, seterusnya menjejaskan tahap mampu milik bagi pemegang polisi yang lain selain kesinambungan produk," ujarnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!