Agih sumbangan banjir menerusi PKOB elak individu sama terima bantuan
TUMPAT - Pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan sukarelawan banjir digalakkan mengagihkan barangan sumbangan melalui Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) yang diaktifkan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA).
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, saranan itu bagi mengelakkan barangan bantuan yang sama diberi kepada individu sama.
Beliau turut memberitahu, terlalu banyak sumbangan boleh menyebabkan pusat pemindahan sementara (PPS) penuh sekali gus akan menimbulkan masalah.
"Kita membenarkan sumbangan dibawa terus kepada mangsa di PPS tetapi kalau boleh perlu melalui pihak berkuasa termasuk Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) supaya agihan lebih teratur," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan lawatan di Pusat Pemindahan Sementara Sekolah Kebangsaan Sri Tumpat di sini pada Rabu.
Nancy memberitahu, pihaknya juga akan menilai keperluan mangsa banjir jika berlaku gelombang kedua.
"Melalui mesyuarat berkaitan banjir di peringkat negara, kita sudah bersiap sedia untuk gelombang kedua dan akan membantu terutama penggunaan peralatan.
"Kalau ramalan betul kita tidak akan membiarkan rakyat menderita," katanya.
Dalam pada itu, Nancy berkata, JKM akan menambah baik kelemahan pengagihan dan penyimpanan barangan mangsa banjir.
Jelas beliau, setakat ini tiada masalah ketidakcukupan makanan selain menambah keperluan di depoh terbabit.
"Kita sudah mempunyai pangkalan hadapan di setiap daerah untuk mengatasi jika berlaku bencana besar terutama membabitkan penutupan jalan," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!