Pemerdagangan manusia: Warga asing dieksploitasi jadi nelayan

Mohd Zawawi menerima cenderamata daripada Brooke Leung hasil kerjasama Operasi Redback 19/2024 yang dijalankan di perairan Selangor baru-baru ini.
Mohd Zawawi menerima cenderamata daripada Brooke Leung hasil kerjasama Operasi Redback 19/2024 yang dijalankan di perairan Selangor baru-baru ini.
A
A
A

KLANG - Warga asing dieksploitasi sebagai buruh paksa dan bekerja di lautan sebagai nelayan antara kes pemerdagangan orang yang dikesan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia).

Pemangku Timbalan Ketua Pengarah Operasi Maritim Malaysia, Laksamana Muda Mohd Zawawi Abdullah berkata, bagi tempoh empat tahun, pihaknya telah merekodkan 29 kes tangkapan di bawah Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007.

Katanya, mengikut pecahan, lima kes direkodkan pada 2021, 2022 (13 kes), 2023 (4 kes) dan tujuh kes setakat November tahun ini.

"Ada kes pemerdagangan dan eksploitasi. Apa yang kita kesan warga asing dijadikan sebagai buruh paksa sebagai nelayan dan ini antara salah satu lubuk kes.

"Mangsa ini akan ditakut-takutkan oleh majikan mereka untuk dipaksa bekerja. Bila soal siasat dilakukan, mangsa akan dakwa mereka dibayar gaji dan sebagainya, walhal semakan awal mereka ini tidak mempunyai dokumen," katanya dalam sidang akhbar Operasi Redback 19/2024 Maritim Selangor di sini pada Khamis.

Turut hadir Kaunselor ABF, Superintenden Brooke Leung serta Pengarah Maritim Negeri Selangor, Kepten Maritim Abdul Muhaimin Muhammad Salleh.

Mohd Zawawi (kiri) menyampaikan sijil penghargaan kepada wakil Persatuan Nelayan Kawasan (PNK) pada Majlis Penutupan Operasi Redback 19/2024 di Klang pada Khamis.
Mohd Zawawi (kiri) menyampaikan sijil penghargaan kepada wakil Persatuan Nelayan Kawasan (PNK) pada Majlis Penutupan Operasi Redback 19/2024 di Klang pada Khamis.

Mohd Zawawi berkata, berdasarkan kes pemerdagangan orang yang dikesan sebelum ini, Maritim Malaysia mengesan kehadiran warga asing yang menaiki bot dari Indonesia masuk ke Malaysia sebagai transit.

Artikel Berkaitan:

Katanya, itu hanya taktik sindiket kerana warga asing itu akan berkumpul sebelum bergerak menaiki bot dan menyusup masuk ke Pulau Christmas di Australia.

"Namun, kegiatan itu berjaya ditumpaskan dengan siri kerjasama dan operasi bersama Pasukan Sempadan Australia (ABF)," ujarnya.

Dalam pada itu, Mohd Zawawi berkata, tahun ini setakat November, pihaknya turut berjaya merekodkan lebih 64 kes tangkapan di seluruh negara membabitkan kemasukan pendatang asing tanpa izin (PATI) dengan jumlah 249 orang.

Tambahnya, selain itu bagi tempoh sama, 14 tangkapan melibatkan kes penyeludupan seperti rokok, dadah dan ketum dengan nilai rampasan melebihi RM1 juta turut direkodkan Maritim Malaysia.

Mengulas mengenai Operasi Redback 19/2024, beliau memaklumkan, operasi selama empat hari bermula 2 Disember dilaksanakan Maritim Negeri Selangor bersama ABF di sepanjang 118 batu nautika dari Sabak Bernam hingga Kuala Sepang, Selangor.

"Penguatkuasaan ini telah memeriksa 60 kapal dan bot dan hasilnya satu tangkapan direkodkan di bawah Akta Perikanan 1985," ujarnya.

Jelasnya, selain operasi di laut, komponen komunikasi strategik turut menjadi fokus dengan penglibatan komuniti maritim di dua lokasi terpilih iaitu Kampung Nelayan Kelanang dan Kompleks Agrotourism Persatuan Nelayan Kawasan (PNK) Sepang, Sepang Resort untuk OP Redback 19 ini.

“Program turun padang seperti ini juga dapat mendekatkan Maritim Malaysia dengan komuniti setempat di samping menjadikan mereka mata dan telinga pihak berkuasa dalam melaporkan sebarang aktiviti yang mencurigakan di perairan negara," katanya.

Operasi Redback hasil daripada Memorandum Persefahaman yang dimeterai pada 2011 antara kerajaan Malaysia dan Australia.

Inisiatif ini meliputi perkongsian maklumat pintar dan kepakaran selain bengkel khas yang memfokuskan kepada pengukuhan keupayaan anggota Maritim Malaysia bagi memastikan negara tidak dilabelkan sebagai hub jenayah rentas sempadan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!