Banjir: Jualan Rahmah tawar harga subsidi 10 hingga 30 peratus
KEMAMAN - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) menawarkan harga subsidi 10 hingga 30 peratus barangan keperluan harian menerusi Program Jualan Rahmah Madani (PJRM) yang akan diadakan di kawasan terjejas banjir di seluruh negara terutama Kelantan dan Terengganu.
Menterinya, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, program itu bagi memastikan bekalan barangan mencukupi dapat diberikan kepada penduduk yang terkesan banjir bagi mendapatkan harga lebih murah daripada harga pasaran.
"KPDN cawangan akan lakukan kerjasama dengan jawatankuasa pengurusan bencana daerah (laksana PJRM). Walaupun sememangnya ada dalam jadual tetapi kita bersedia untuk tambah kerana tahu mereka yang hadapi bencana ini terkesan dan tanggung kerugian.
"Dengan adanya PJRM ini, sedikit sebanyak meringankan beban mereka dapatkan harga subsidi 10 hingga 30 peratus. Kita akan fokus di negeri yang terkesan seperti Kelantan, Terengganu, Pahang dan Johor serta mana-mana kawasan yang hadapi masalah maka kita akan laksanakan," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas melakukan lawatan di di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Air Jernih, di sini, pada Khamis.
Terdahulu, Armizan menyantuni 83 calon peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang terkesan banjir di SMK Air Jernih, di sini.
Mengulas lanjut, Armizan menyatakan usaha tersebut bagi memastikan rakyat mendapat bantuan segera dalam menghadapi bencana ketika ini.
"Penduduk turut menerima sumbangan bantuan daripada NGO tertentu iaitu bantuan yang berbentuk spesifik dan ada barangan lain tidak diberikan.
"Jadi PJRM ini boleh memainkan peranan itu dengan memberi bekalan (selain barangan bantuan diterima) pada harga subsidi tersebut," ujarnya.
Sementara itu, Armizan berkata, sebanyak 1,369 Peruncit Terpilih Daerah (DDR) dan 635 Pemborong Terpilih Daerah (DDW) di seluruh negara dibenarkan menambah had simpanan bekalan barangan keperluan harian sebanyak 30 peratus daripada had simpanan yang ditetapkan pada musim banjir ini.
Beliau berkata, pendekatan berkenaan diambil bagi memastikan bekalan barangan keperluan itu mencukupi di kawasan terlibat bencana.
"Tambahan had simpanan barangan berkenaan dibenarkan kepada semua DDR dan DDW termasuk di luar kawasan terlibat banjir.
"Tambahan had simpanan tersebut diberikan sehingga berakhir Monsun Timur Laut (MTL) pada Mac tahun depan," jelas beliau.
Dalam pada itu, Armizan berkata, KPDN juga akan memastikan kesiapsiagaan penghantaran bekalan barangan keperluan dari luar kawasan dan negeri yang terlibat banjir.
"Ini termasuk penghantaran bekalan bahan api diesel dan petrol melalui kerjasama dengan Petronas," ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!