RUU PSB bantu tangani banjir di bandar

Kor Ming
Kor Ming
A
A
A

IPOH - Rang Undang-Undang Pembaharuan Semula Bandar (RUU PSB) dijangka dibentangkan di Parlimen pada Mac 2025 akan memperketatkan proses kelulusan projek bagi menangani isu banjir negara.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming berkata, RUU PSB berkenaan kini di peringkat akhir itu akan menaik taraf infrastruktur termasuk bangunan lama.

"Kita ada perbandaran lama dengan bangunan pra Kemerdekaan sebelum tahun 1957. Jika tidak ada akta pembaharuan semula bandar memang kita hadapi pelbagai masalah.

"Masalah itu termasuk perancangan bandar yang sudah lapuk serta sistem perparitan yang tidak lagi memenuhi kehendak semasa.

"Sebab itu akta ini sudah sampai peringkat akhir dan dijangka akan dibentangkan di Parlimen pada sesi pertama tahun depan," katanya ketika ditemui pemberita selepas melawat kawasan bencana banjir di Arena Kepayang Putra di Fair Park di sini pada Khamis.

Pada masa sama, Kor Ming berkata, pemaju projek perlu merujuk platform Malaysia Urban Observatory (MUO) Analytics Centre yang telah dilancarkan bagi merancakkan pembangunan bandar.

"Semua pemaju projek boleh merujuk MUO untuk mendapatkan maklumat terkini, mana tempat yang sesuai atau tidak.

"PLANMalaysia telah memasukkan segala maklumat dan ia dibekalkan secara percuma kepada orang awam, termasuk pemaju," katanya.

Artikel Berkaitan:

Pada lawatan itu, Kor Ming yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kepayang telah menyampaikan 200 tilam kepada keluarga yang terjejas banjir dalam kejadian Ahad lalu.

Kor Ming berkata, bantuan kecemasan berjumlah RM1,000 juga telah disediakan kepada 255 keluarga terlibat yang mana 174 keluarga telah mengisi borang bantuan tersebut.

"Dari segi jangka pendek, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) akan segera memasang pam baru bagi menghadapi gelombang kedua banjir dijangka bermula Ahad ini.

"Notis awal telah dimaklumkan kepada penduduk untuk mengambil langkah pencegahan dengan menyimpan dokumen penting di tempat tinggi," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!