DSAT Group rancang tubuh Darul Aman FC

Azizul
Azizul
A
A
A

DSAT Group Sdn Bhd merancang untuk menubuhkan sebuah kelab bola sepak baharu yang diberi nama Darul Aman FC.

Pengerusi Eksekutifnya, Datuk Seri Azizul Tandek berkata, pasukan tersebut akan ditubuhkan pada awal tahun hadapan dan bersaing di peringkat liga bawahan terlebih dahulu sebelum mendapatkan tempat di Liga Super.

Menurutnya, satu perbincangan bersama Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) telah diadakan berhubung perkara tersebut.

"Darulaman FC akan menggantikan Kedah Darul Aman (KDA) FC sekiranya berlaku sebarang perkara yang tidak diingini pada masa akan datang. Kami telah menyusun atur segala perancangan dan kedatangan saya ke sini antaranya untuk mengadakan mesyuarat bersama jawatankuasa penaja.

"Kita akan melalui segala proses diperlukan. Apabila kita baru tubuhkan pasukan, sudah tentu kita perlu bermula dari liga bawahan tetapi selepas itu, kita akan bersaing untuk mendapatkan tempat di Liga Super," katanya pada sidang akhbar pada Khamis.

Jelasnya, Darul Aman FC akan memberi fokus kepada pembangunan anak jati negeri Kedah bagi melahirkan pemain bola sepak berkualiti untuk negara.

Kata Azizul, walau bagaimanapun, dalam sukan bola sepak perlu bersifat terbuka untuk menerima kehadiran pemain luar bagi memperkasakan pasukan.

“Saya berniaga di negeri ini dan akan memastikan apa yang dilakukan mendatangkan kebaikan kepada rakyat Kedah," ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan DSAT Group berhasrat untuk mengambil alih kesemua kepentingan saham dan liabiliti dalam Darulaman Football Club Sdn Bhd (DFCSB) sekali gus menjadi pemilik baharu KDA FC.

Satu perbincangan sudahpun diadakan pada tahun lalu bersama pemilik saham majoriti KDA FC, Tan Sri Dr Mohd Daud Bakar tentang pemilikan saham kelab namun hasil perjumpaan itu gagal mencapai kata putus yang diharapkan.

Selepas itu, DSAT Group telah menghantar satu lagi permohonan melalui anak syarikatnya, Mahsuri Medical Centre (MMC) untuk mengambil alih KDA FC pada November lalu namun perbincangan yang diadakan turut gagal.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!