Banjir: Pesawah di bawah STPP bakal terima pampasan
TUMPAT - Pesawah yang terjejas banjir bakal menerima pampasan sebanyak RM2,250 untuk satu hektar melalui Skim Takaful Tanaman Padi (STPP) jika mereka mendaftar skim berkenaan.
Pengerusi Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA), Khalid Samad bagaimanapun berkata, jumlah keseluruhan pesawah yang terjejas belum dapat dipastikan.
Menurut beliau, sehingga kini sebanyak 696 hektar sawah di bawah KADA dikenal pasti rosak teruk membabitkan daerah Pasir Mas, Bachok, Pasir Puteh, Kota Bharu dan Tumpat.
"Kita masih di peringkat mendapatkan maklumat tepat jumlah pesawah terbabit untuk agihan bantuan serta pampasan," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas meninjau tanaman padi dan menyampaikan sumbangan kepada pesawah terjejas di Kampung Jubakar Darat pada Rabu.
Dalam pada itu, Khalid memberitahu, kebanyakan pesawah mendaftar STPP selepas diperkenalkan September lalu dan perlindungan terpakai kepada benih padi yang ditanam dalam tempoh kurang 70 hari.
"Sebanyak 981 hektar sawah tidak sempat didaftarkan melalui STPP dan mungkin dibantu melalui Tabung Bencana Tanaman Padi," katanya.
Jelas beliau lagi, pihaknya akan membuat pengesahan selepas keadaan banjir pulih bagi membolehkan bantuan disalurkan," katanya.
Media sebelum ini melaporkan STTP dilancarkan oleh Agrobank dengan sokongan penuh Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM).
Inisiatif berkenaan bertujuan melindungi petani daripada risiko kerugian akibat bencana alam seperti banjir, kemarau, serangan penyakit serta makhluk perosak.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!