Pahang sedia jadi hab pemasangan, pembuatan EV di Pantai Timur
KUANTAN – Kerajaan Pahang bersedia untuk menjadi lokasi utama bagi industri pemasangan dan pembuatan kenderaan elektrik (EV) di Pantai Timur.
Exco Pelaburan, Perindustrian, Sains, Teknologi dan Inovasi negeri, Datuk Mohamad Nizar Mohamad Najib berkata, dengan adanya projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) yang menghubungkan Pelabuhan Klang, Selangor dan Pelabuhan Kuantan, Pahang mempunyai kelebihan untuk menarik pelaburan dalam industri EV, sekali gus menyumbang kepada pembangunan ekonomi hijau di negeri ini.
"Kita melihat negeri-negeri sebelah pantai barat seperti Selangor, Negeri Sembilan dan Melaka menjadi pilihan pengeluar kenderaan EV untuk membina kilang pemasangan dan pembuatan kerana faktor logistik.
"(Oleh itu) kita ingin menyaksikan negeri Pahang menjadi hab pemasangan dan pembuatan EV di sebelah Pantai Timur. Jika faktor logistik merupakan kriteria utama maka kita akan memperkasa promosi jaringan logistik dan industri ECRL," katanya.
Beliau berkata demikian ketika sesi penggulungan pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang di Wisma Sri Pahang di sini, pada Khamis.
Mohamad Nizar turut memaklumkan sebanyak 50 stesen pengecas EV akan dibangunkan di seluruh Pahang dengan nilai pelaburan dianggarkan RM250 juta.
Jelasnya, projek kerjasama antara Perbadanan Setiausaha Kerajaan Pahang dan Volt Industries, menjadikan Pahang peneraju infrastruktur EV di Pantai Timur bagi mengurangkan pelepasan karbon secara signifikan.
Beliau menambah, daerah Bentong dipilih sebagai perintis dengan pembinaan stesen pengecas yang pertama dari 12 stesen yang akan dibangunkan di daerah itu dan majlis pecah tanah telah diadakan pada 18 November lalu.
"Tiga reka bentuk stesen berbeza iaitu Volt Mega Station dengan 50 port pengecas, Volt Station (12 port pengecas) dan Volt Express (dua port pengecas) untuk dibangunkan bergantung kepada kesesuaian kawasan.
"Saya difahamkan proses penyelarasan bagi tapak cadangan di daerah-daerah lain sedang dijalankan dan saya berharap agar PBT (pihak berkuasa tempatan) dapat memberikan kerjasama sepenuhnya untuk memastikan pembangunan stesen pengecas kenderaan ini dapat dilaksanakan dengan baik," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!