'Piala ASEAN tugasan terakhir saya bersama Harimau Malaya' - Pau Marti

Pau Marti
Pau Marti
A
A
A

SKUAD bola Sepak Harimau Malaya akan mendapat jurulatih baharu selepas penstrukturan semula pengurusan pasukan kebangsaan dalam masa terdekat.

Perkara itu disahkan sendiri jurulatih Harimau Malaya, Pau Marti Vicente yang menjelaskan kejohanan Piala ASEAN yang bermula Ahad ini akan menjadi tugasan terakhirnya.

"Saya ingin memaklumkan bahawa Piala ASEAN 2024 akan menjadi tugasan terakhir saya sebagai ketua jurulatih Harimau Malaya.

"Keputusan ini dibuat susulan komunikasi dengan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), berhubung penstrukturan semula Pengurusan Pasukan Kebangsaan.

"Sebagai sebahagian daripada penstrukturan semula ini, ketua jurulatih dan barisan kejurulatihan Harimau Malaya yang baharu akan dilantik untuk kempen Kelayakan Piala Asia 2027 mulai tahun depan.

"Saya dan barisan kejurulatihan akan menamatkan perkhidmatan kami bersama skuad Harimau Malaya pada akhir kempen Piala ASEAN," katanya.

Menurutnya, tempohnya bersama pasukan negara cukup menyeronokan selain menyeru penyokong setia pasukan negara untuk memenuhi stadium ketika aksi di laman sendiri dalam kejohanan Piala ASEAN itu.

"Kami telah mengharungi tiga tahun yang menakjubkan di Malaysia yang dipenuhi dengan kenangan yang tidak dapat dilupakan.

Artikel Berkaitan:

"Saya mahu pemain, terutamanya prospek muda menikmati kejohanan ini dan suasana luar biasa di Bukit Jalil bersama penyokong kami.

"Mendapat sokongan mereka akan menjadi penghargaan terbesar kepada kami. Saya memberi jaminan bahawa penyokong akan menikmati aksi pasukan dalam kejohanan terakhir kami ini. Marilah kita bersama-sama dan berikan yang terbaik untuk pasukan ini," katanya.

Sebelum ini, Pau Marti yang merupakan pembantu jurulatih telah dinaikkan pangkat sebagai ketua jurulatih bagai menggantikan Kim Pan-gon.

Harimau Malaya akan menghadapi perlawanan pertama Kumpulan A menentang Kemboja di Stadium Olimpik, Phnom Penh pada Ahad sebelum melayan kunjungan Timor-Leste di Stadium Nasional, Bukit Jalil tiga hari kemudian.

Selepas itu, skuad negara akan terbang ke Bangkok untuk berdepan Thailand pada perlawanan ketiga pada 14 Disember dan menamatkan aksi kumpulan menentang Singapura di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 20 Disember.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!