Selepas 27 tahun, penduduk Kampung Niatang miliki tanah sendiri
KOTA KINABALU - Penantian selama 27 tahun penduduk Kampung Niatang, Pitas, untuk memiliki tanah sendiri akhirnya tercapai apabila 43 ketua isi rumah akan menerima geran tanah masing-masing.
Usaha untuk mendapatkan geran tanah itu bermula sejak dua tahun lalu dengan bantuan Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO) selepas penduduk dimaklumkan tanah yang diusahakan mereka diceroboh sebuah syarikat lain.
Hasil tuntutan kepada kerajaan sepanjang tempoh dua tahun itu akhirnya penduduk diberikan tanah seluas 89 hektar dan daripada jumlah itu, 50.5 hektar tanah gantian diserahkan kepada 43 ketua isi rumah kampung tersebut.
Pengerusi Badan Bertindak Kampung Niatang, Hollynah Mopuas, 55, ketika ditemui menyatakan kesyukurannya apabila tanah yang dimohon penduduk diganti kerajaan di kawasan berhampiran.
"Terima kasih kepada kerajaan dan Jabatan Tanah dan Ukur (JTU) kerana membantu menyelesaikan masalah kami dengan menawarkan kami tanah gantian bagi tanah yang dituntut sebelum ini.
"Jumlah keseluruhan permohonan geran atau lot keseluruhan sebanyak 62 pemohon dan sekarang yang dicetak hanya 43 geran, manakala 15 lagi geran dalam tindakan untuk ditandatangan pengarah dan empat lagi pemohon ada masalah sedikit untuk diselesaikan.
"Saya sendiri menerima tiga ekar (1.2 hektar) tanah berbanding yang dimohon sebanyak 15 ekar (enam hektar)," katanya dalam sidang media di pejabat MHO di sini pada Khamis.
Bagaimanapun, Hollynah berkata, penduduk kampung masih berharap supaya tanah gantian itu diambil pihak syarikat dan tanah yang diusahakan penduduk sebelum ini dikembalikan kepada mereka.
"Sebab tanah gantian yang kami dapat ini masih hutan rimba dan tanah yang kami usahakan sudahpun ada tanaman serta diluluskan untuk projek Lembaga Industri Getah Sabah (LIGS) tetapi tergendala disebabkan isu pencerobohan tanah tersebut.
"Penduduk kampung juga berharap kerajaan dapat kembalikan kelulusan projek LIGS kepada Kampung Niatang untuk kebaikan penduduk keluar daripada kemiskinan," katanya.
Sementara itu, Ketua Pegawai Operasi MHO Sabah, Kapten (B) Jaimeh berkata, kes tanah di Kampung Niatang melibatkan kira-kira 162 hektar yang sudah berpuluh tahun dimiliki penduduk telah diradu selepas geran dikeluarkan untuk sebuah syarikat.
"Hasil daripada rayuan yang MHO bawa termasuk himpunan di hadapan Menara Kinabalu, akhirnya kami dipanggil menteri yang bertanggungjawab untuk perbincangan bagi menyelesaikan isu berkenaan.
"Jadi kita berterima kasih kepada Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor kerana kes ini telah mendapat perhatian," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!