Teliti cadangan tingkatkan pelepasan cukai taska, transit
SHAH ALAM - Kerajaan diminta meneliti cadangan ahli Parlimen Putrajaya, Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin berhubung meningkatkan had pelepasan cukai pendapatan individu bagi penjagaan dan pendidikan awal kanak-kanak dari RM3,000 kepada jumlah yang lebih tinggi.
Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Zulkifli Bujang berkata, langkah tersebut selain memperluaskan skop kepada bayaran yuran transit tepat pada masanya.
Menurut beliau, ia juga mampu memberikan kelegaan buat ibu bapa yang ketika ini berdepan kos sara hidup tinggi, namun dalam masa sama pendapatan boleh guna semakin mengecil.
"Situasi terbabit amat meresahkan terutamanya buat keluarga muda yang menetap di bandar besar seperti Johor Bahru, Johor. Kos penjagaan anak termasuk yuran tadika, taska dan transit terus meningkat akibat kenaikan kos operasi serta inflasi.
"Bagi ibu bapa bekerja untuk tempoh waktu panjang memaksa mereka menggunakan perkhidmatan transit buat anak-anak yang kebiasaannya melibatkan caj tambahan, ini menambah beban kewangan dengan pelbagai komitmen lain.
"Justeru, langkah (cadangan Radzi) ini bukan sahaja membantu golongan B40, malah M40 yang turut merasakan tekanan kos sara hidup," katanya dalam kenyataan pada Khamis.
Pada Rabu, Radzi yang juga Naib Presiden Bersatu mencadangkan perkara tersebut di Dewan Rakyat berikutan kos yuran tadika, taska dan transit anak-anak semakin meningkat terutamanya di bandar besar seperti Kuala Lumpur, Johor Bahru serta Putrajaya.
Zulkifli berpandangan, usaha itu turut menggalakkan ibu bapa untuk memilih perkhidmatan penjagaan berdaftar dan berkualiti di samping memantau perkembangan awal kanak-kanak.
Tambah ketua Bersatu bahagian Johor Bahru terbabit, ia bukan sekadar langkah kewangan, tetapi satu pelaburan jangka panjang untuk pembangunan generasi masa depan.
"Saya menyokong penuh cadangan dikemukakan Radzi dan memohon kepada kerajaan untuk menelitinya dengan segera.
"Tindakan ini akan menunjukkan keprihatinan kerajaan terhadap cabaran sebenar dihadapi rakyat khususnya ibu bapa yang berusaha memberikan kehidupan terbaik buat anak-anak mereka," ujar beliau lagi.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!