'Abang saya tak akan fitnah sultan sendiri' - Yana Najib

Nooryana Najwa
Nooryana Najwa
A
A
A

SHAH ALAM - Anak kepada Datuk Seri Najib Tun Razak, Nooryana Najwa mempertahankan tindakan abangnya, Datuk Mohamad Nizar yang membuat afidavit tambahan di Mahkamah Rayuan, Putrajaya pada Khamis.

Menurutnya, Mohamad Nizar memaklumkan bahawa Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menitahkan bahawa salinan titah adendum tersebut digunakan di mahkamah.

“Abang saya yang juga ADUN (Ahli Dewan Undangan Negeri) dan Exco Pahang telah membuat afidavit tambahan dan menyerahkan kepada mahkamah bersama satu salinan titah adendum yang mengarahkan Datuk Seri Najib diberi tahanan di rumah.

“Abang saya seorang yang amat profesional. Sebagai Exco Pahang, beliau tidak akan memfitnah sultan negeri sendiri dan bekas Yang di-Pertuan Agong (YDPA) dengan membuat afidavit menipu serta menyerahkan salinan titah adendum melibatkan nama YDPA ketika itu.

“Difahamkan juga bahawa dokumen-dokumen tersebut pada mulanya boleh diakses orang ramai melalui sistem fail mahkamah sebagaimana mana-mana kes jenayah tetapi pagi ini, dokumen-dokumen telah di ‘seal’ daripada diakses orang umum,” katanya dalam hantaran di Facebook pada Khamis.

Datuk Mohamad Nizar telah membuat afidavit tambahan dan menyerahkan kepada mahkamah bersama satu salinan titah adendum yang mengarahkan Datuk Seri Najib diberi tahanan di rumah.
Datuk Mohamad Nizar telah membuat afidavit tambahan dan menyerahkan kepada mahkamah bersama satu salinan titah adendum yang mengarahkan Datuk Seri Najib diberi tahanan di rumah.

Tambah Nooryana, Mahkamah Rayuan kemudiannya tidak membuat keputusan berkenaan titah adendum tersebut kerana pihak kerajaan meminta mahkamah lebih masa untuk membalas afidavit yang dikemukakan abangnya.

Artikel Berkaitan:

“Mahkamah akan memberitahu tarikh-tarikh baru kelak. Seperti dijangka. Perjuangan untuk mencari kebenaran dan keadilan diteruskan,” jelasnya.

Najib yang juga bekas Perdana Menteri memaklumkan Mahkamah Rayuan pada Khamis bahawa pihaknya telah memfailkan permohonan untuk memasukkan bukti baharu berhubung kewujudan titah adendum.

Peguamnya, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah berkata, bukti baharu itu difailkan pada Selasa lalu, sehari selepas menerima maklumat berkenaan dan salinannya sudah diserahkan kepada wakil peguam kerajaan dari Jabatan Peguam Negara (AGC).

Peguam Kanan Persekutuan, Shamsul Bolhassan kemudiannya berkata, pihaknya memerlukan masa untuk menyemak afidavit tersebut dan mengesahkan dokumen yang dilampirkan.

Sehubungan itu, panel tiga hakim bersidang yang dipengerusikan oleh Hakim Datuk Azizah Nawawi menangguhkan pendengaran rayuan ke tarikh lain yang akan ditetapkan kemudian.

Najib, 71, sedang menjalani hukuman penjara enam tahun sejak 23 Ogos 2022 selepas disabitkan kesalahan menyeleweng dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd memfailkan petisyen untuk pengampunan diraja pada 2 September 2022.

Titah adendum yang dikatakan diperkenan oleh YDPA ke-16 itu akan membolehkan Najib menjalani baki hukuman penjaranya di bawah tahanan rumah.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!