JAS terima 99 aduan sisa bahan buangan terjadual tahun ini
PORT DICKSON - Jabatan Alam Sekitar (JAS) merekodkan sebanyak 99 aduan berkaitan kes sisa bahan buangan terjadual yang dilupuskan secara haram di seluruh negara setakat Khamis.
Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, daripada jumlah tersebut hanya 13 kes didapati berasas selepas siasatan dijalankan dan telah diambil tindakan penguatkuasaan.
"Pihak kementerian memandang serius terhadap isu berkaitan bahan buangan yang dilupuskan secara haram dan kini dalam proses memperhalusi Akta Kualiti Alam Sekeliling (AKAS) 1974.
"Kita juga dalam proses memperkasakan lagi Jabatan Alam Sekitar, dalam masa yang sama kita buat pindaan kepada AKAS fasa kedua, fasa pertama hukuman. AKAS ini asal-usulnya tahun 1970-an jadi mungkin ada perkara dan cabaran baharu yang perlu diambil kira dalam perundangan alam sekitar supaya lebih komprehensif serta berkesan," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas tinjauan ke tapak pelupusan haram sisa industri buangan terjadual di Bukit Pelandok di sini pada Khamis yang turut dihadiri oleh Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun.
Mengenai pelupusan haram di Bukit Pelandok Nik Nazmi berkata, penemuan tapak pelupusan buangan terjadual itu adalah susulan aduan yang diterima oleh Jabatan Alam Sekitar.
"Hasil siasatan mendapati terdapat dua lokasi yang dijadikan tapak pelupusan haram yang berkedudukan lebih kurang 200 meter antara satu sama lain.
"Terdapat sejumlah lebih kurang 800 tong drum dan IBC tank yang dipercayai mengandungi sisa kimia yang dilupuskan secara haram di kedua-dua lokasi tersebut yang terlindung di sebalik tembok yang berketinggian lebih kurang tiga meter.
"Berdasarkan keputusan analisis sampel buangan yang diperoleh daripada Jabatan Kimia Malaysia mendapati buangan yang dilupuskan secara haram tersebut disyaki terdiri daripada cecair yang mengandungi sebatian pelarut terpakai (SW322) serta bahan-bahan pepejal dan bekas yang telah dicemari bahan kimia serta buangan terjadual (SW409)," katanya.
Ujarnya, proses pemindahan buangan dari lokasi pertama ke tempat penyimpanan sementara telah selesai sepenuhnya dengan bantuan pemilik tanah dan buangan di lokasi kedua dalam proses pembersihan berikutan tiada jalan masuk ke kawasan tersebut.
"Anggaran kos pembersihan dan pelupusan adalah hampir RM1.2 juta. Semua pihak industri adalah diingatkan bahawa tindakan tegas di bawah AKAS 1974 akan dikenakan ke atas mana-mana premis yang melakukan pencemaran alam sekitar.
"AKAS 1974 yang telah dipinda dan mula berkuat kuasa pada 7 Julai lalu telah memberi keutamaan kepada pindaan hukuman, denda dan penalti di mana melibatkan julat kadar denda antara RM5,000 hingga RM10 juta, selain penjara mandatori tidak melebihi lima tahun.
"Selain itu, kadar kompaun juga ditingkatkan daripada maksimum RM2,000 kepada tidak melebihi 50 peratus daripada denda maksimum kesalahan berkaitan," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!