'Jadilah ketua keluarga yang bertanggungjawab' - Hussamuddin
SHAH ALAM - 'Kalau lelaki itu, jadilah ketua keluarga yang bertanggungjawab. Bimbinglah keluarga, satukanlah keluarga dan harta dunia ini jangan berebut-rebut'.
Demikian nasihat yang sampaikan oleh Penasihat Kumpulan Karangkraf, Datuk Hussamuddin Yaacub kepada semua kakitangan ketika majlis '70 Tahun Meniti Usia: Majlis Kesyukuran Legasi Haji Yaacub' di Kumpulan Karangkraf di sini pada Khamis.
Beliau yang sudah 47 tahun mendirikan perniagaan media di negara ini berharap dengan perkongsian tersebut dapat memberi manfaat kepada keluarga dan kakitangannya.
Dalam pada itu, Hussamuddin turut berkongsi tentang kisah pembinaan sebuah masjid dalam Kompleks Kumpulan Karangkraf yang bertujuan untuk mewujudkan suasana seperti di Madinah.
"Waktu bisnes, bisnes, waktu solat semua kakitangan turun solat berjemaah beramai-ramai. Selepas itu balik cepat-cepat sambung bisnes.
"Itulah saya harapkan. Bagaimanapun saya bersyukur sampai ke tahap ini dan berharap dapat diusahakan selebihnya," ujarnya.
Di hadapan keluarga dan kakitangan beliau, Hussamuddin turut mendedahkan, hanya ada empat perkara yang diminta setiap kali berdoa selepas menunaikan solat.
"Saya mulakan doa dengan bersyukur. Saya bersyukur dengan apa yang ada. Sekiranya itulah yang menyebabkan ALLAH lindungi Karangkraf dan kerana kita bersyukur, kita dapat (apa yang diinginkan) itu.
"Kedua, saya sentiasa mohon supaya ALLAH jadikan saya seorang yang ikhlas. Saya sentiasa buat apa ikhlas. Itu sebab, setiap kali ada masalah, ramai yang datang mengadu, saya kata maafkanlah mereka, ikhlaskanlah. Ambil kelebihan mereka.
"Ketiga, saya berdoa supaya ALLAH bagi saya hidayah untuk saya semakin menghampiri, untuk lebih amal, meningkatkan amalan saya supaya saya dapat bertemu kembali di syurga kedua ibu bapa saya.
"Keempat, barulah saya minta kesihatan dan juga buka pintu rezeki. Jadi, bukan yang rezeki itu dulu (yang saya minta). Itu yang menyebabkan saya jadi seorang yang tenang, tidak stres," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!