Temui urungan najis tikus dan lipas, empat kantin sekolah diarah tutup
MELAKA - Tahap kebersihan rendah yang diamalkan dalam penyediaan makanan antara punca berlaku kes keracunan di negeri ini.
Pengarah Kesihatan Negeri Melaka, Dr Ruzita Mustaffa berkata, ia termasuk disebabkan pencemaran silang apabila makanan telah dimasak dicemari makanan mentah atau semasa penyimpanan.
Menurutnya, punca itu juga menjadi penyebab 20 episod kes keracunan makanan dilaporkan dalam tempoh 11 bulan tahun ini yang kebanyakannya berlaku di kantin sekolah.
"Daripada jumlah itu, lapan buah kantin sekolah terlibat di tiga daerah iaitu Melaka Tengah, Jasin dan Alor Gajah.
"Empat buah kantin daripada keseluruhan 49 premis makanan juga telah diarahkan tutup selama 14 hari di bawah Seksyen 11, Akta Makanan 1983 kerana terdapat urungan najis tikus dan lipas," katanya.
Beliau berkata demikian selepas Majlis Pengiktirafan Bersih dan Selamat (BeSS) bersama Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan, Jabatan Kesihatan Negeri Melaka (JKNM) di Makan Avenue, Kampung Hulu, di sini, pada Khamis.
Jelasnya, dalam tempoh yang sama tahun ini bermula Januari hingga 23 November lalu, sebanyak 5,841 premis makanan telah diperiksa dan 1,933 notis kesalahan kebersihan dikeluarkan di bawah Peraturan-peraturan Kebersihan Makanan 2009 berjumlah RM320,900.
"Dengan adanya program ini, orang ramai dinasihati memilih premis yang telah mendapat pengiktirafan BeSS," katanya lagi.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!