'Kalau titah adendum wujud, mengapa kerajaan tak laksana' - Akmal Saleh

Tangkap layar hantaran Dr Muhamad Akmal di Facebook pada Khamis.
Tangkap layar hantaran Dr Muhamad Akmal di Facebook pada Khamis.
A
A
A

SHAH ALAM - Kerajaan perlu memberikan penjelasan terperinci berhubung kewujudan titah adendum yang dikatakan diperkenan oleh Yang di-Pertuan Agong ke-16 bagi membolehkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menjalani baki hukuman penjara di bawah tahanan rumah.

Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh berkata, ia agak musykil kerana sebelum ini Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail mengemukakan afidavit serta mengesahkan adanya titah adendum.

Menurut beliau, ia juga disokong dengan tindakan anak kepada Najib merangkap Exco Kerajaan Negeri Pahang, Datuk Mohamad Nizar yang turut membuat afidavit tambahan pada Khamis, bagaimanapun dinafikan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail yang menegaskan titah adendum sekadar khabar angin dalam sidang Parlimen, November lalu.

"Jadi, saya mahu bertanya kepada kerajaan, dengan dua pendedahan ini adakah ia masih khabar angin? Mohamad Nizar sendiri mengesahkan ia wujud.

"Kalau tak wujud, kenapa tiga individu yang berada dalam kerajaan ini buat afidavit? Takkanlah mereka nak membohong, takkan kita nak mempermainkan titah Sultan Pahang (Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah).

"Tetapi, kalau wujud mengapa tidak dilaksanakan? Adakah kerajaan ingkar? Jadi, saya mohon jawab sebab ini hak dan keadilan untuk Najib. Beri penjelasan supaya seluruh rakyat Malaysia tahu kisah sebenar," katanya menerusi hantaran di Facebook pada Khamis.

Sebelum ini, Mahkamah Rayuan Putrajaya menangguhkan permohonan Najib untuk mengemukakan bukti baharu dalam rayuannya memulakan semakan kehakiman bagi mencabar kewujudan Titah Adendum.

Peguamnya, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah berkata, bukti baharu itu difailkan pada Selasa lalu, sehari selepas menerima maklumat dan salinannya sudah diserahkan kepada wakil peguam kerajaan dari Jabatan Peguam Negara (AGC).

Artikel Berkaitan:

Menurut Peguam Kanan Persekutuan, Shamsul Bolhassan, pihaknya memerlukan lebih banyak masa untuk menyemak afidavit dan mengesahkan dokumen yang dilampirkan bersama.

Sehubungan itu, panel tiga hakim bersidang dipengerusikan Datuk Azizah Nawawi menangguhkan pendengaran rayuan kepada tarikh lain yang akan ditetapkan kemudian.

Najib, 71, yang sedang menjalani hukuman penjara enam tahun sejak 23 Ogos 2022 selepas disabitkan kesalahan menyeleweng dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd memfailkan petisyen untuk pengampunan diraja pada 2 September 2022.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!