Pengurus restoran promosi agenda komunis diberkas - KPN

Polis menahan seorang pengurus restoran yang dipercayai menggunakan peralatan makanan bagi mempromosikan agenda komunis pada Rabu.
Polis menahan seorang pengurus restoran yang dipercayai menggunakan peralatan makanan bagi mempromosikan agenda komunis pada Rabu.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesahkan telah menahan seorang pengurus restoran kerana dipercayai menggunakan peralatan makanan bagi mempromosikan agenda komunis pada Rabu.

Pengurus restoran di Klang, Selangor itu diberkas oleh sepasukan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan pada jam 10 malam.

Penahanan lelaki berusia 20 tahun itu disahkan Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain.

Beliau berkata, serbuan dilakukan selepas satu laporan polis diterima berhubung sebuah video yang diambil daripada pautan YouTube mengenai sebuah kedai makan.

Dalam video tersebut, kata beliau, kelihatan beberapa peralatan makanan di kedai tersebut berunsurkan agenda komunis dengan cara cetakan imej propaganda dan slogan komunisme pada setiap barangan.

Menurut beliau, satu laporan polis dibuat selepas pengadu berpendapat perbuatan pemilik kedai tersebut menyalahi undang-undang negara.

"Siasatan awal polis mendapati restoran tersebut menghidangkan makanan jenis barbeku versi China yang menawarkan makanan seperti ayam, babi, lembu dan sayur-sayuran.

"Hasil semakan, kita dapati sebuah video yang diambil daripada pautan YouTube memaparkan restoran itu mempunyai beberapa peralatan hidangan makanan dan minuman seperti pinggan, mangkuk, teko, gelas dan cawan gambar pemimpin komunis," katanya pada Khamis.

Artikel Berkaitan:

Mengulas lanjut, beliau berkata, video berdurasi satu minit 24 saat itu dimuat naik sejak 10 hari yang lalu dan telah mendapat sebanyak 3,800 tontonan, 94 tanda like dan 25 komen.

Beliau berkata, hasil serbuan dilakukan, sebanyak lima mangkuk seramik saiz kecil warna putih berjalur biru tercatit tulisan bahasa Cina dan bergambar disyaki muka Presiden Komunis China bernama Mao Zedong bersama rakan-rakannya telah dirampas.

"Polis turut merampas satu cawan kaca teh seramik berwarna putih berjalur biru tercatit tulisan Bahasa Cina dan gambar beberapa individu.

"Selain itu, tiga sudu sup seramik berwarna putih berjalur biru terdapat gambar disyaki muka Presiden Komunis China, Mao Zedong dan resit perniagaan bertarikh pada Rabu sebanyak tiga keping," ujarnya.

Razarudin berkata, hasil soal siasat mendapati suspek telah bekerja sejak bulan Oktober tahun lalu dengan kadar bayaran gaji sebanyak RM4,500 sebulan.

Jelasnya, suspek mengaku barang-barang tersebut dibeli oleh rakan pemilik restoran yang tinggal di negara China dan dihantar ke Malaysia untuk digunakan di restoran tersebut.

Menurutnya, permohonan reman ke atas suspek telah dibuat di Mahkamah Majistret Klang dan reman selama dua hari bermula Khamis bagi membolehkan siasatan lanjut dilakukan di bawah Seksyen 47 Akta Pertubuhan 1966 & 505(b) Kanun Keseksaan.

"Semakan lesen dan pemilik premis akan dibuat kepada pihak Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK) sama ada restoran berkenaan mempunyai lesen sah atau tidak.

"Manakala semakan keatas pemilik akaun itu akan dibuat kepada pihak Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia (SKMM) atas paparan video di laman sosial," ujarnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!