Ahli Parlimen Pendang digantung, Pemuda Pas persoal tindakan Johari
SHAH ALAM - Ketua Pemuda Pas, Afnan Hamimi Taib Azamudden mempersoalkan tindakan Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul yang menggantung Ahli Parlimen Pendang, Datuk Awang Hashim daripada menghadiri Dewan Rakyat selama 10 hari.
Ahli Parlimen Alor Setar itu mendakwa, tindakan Johari tidak selari dengan kenyataannya pada November tahun lalu yang tidak peduli apa sahaja kritikan dibuat mana-mana ahli Parlimen di luar Dewan Rakyat.
Menurut beliau, meskipun komen terhadap Johari dibuat di luar dewan, ahli Parlimen masih dikawal dan boleh diambil tindakan mengikut peraturan dalam Dewan Rakyat.
“Hari ini ahli Parlimen Pendang digantung selama 10 hari atas kesalahan bercakap sesuatu mengenai Speaker di luar dewan dalam platform media sosial TikTok.
“Seingat saya ini pertama kali berlaku dalam kes presiden, menjadi satu duluan yang ditunjukkan oleh Speaker Dewan Rakyat.
“Sepatutnya kalau bercakap di luar dewan dan ada apa-apa kesalahan ambil tindakan sivil, saman atau lapor polis. Tetapi, kali ini Speaker boleh ambil tindakan dalam dewan (walaupun kesalahan dibuat di luar),” katanya menerusi hantaran di Facebook pada Khamis.
Sebelum ini, Johari dilaporkan berkata, tindakan itu diambil setelah pelbagai cara dibuat bagi meminta Awang memohon maaf dan menarik balik ucapan tidak diendahkan hingga Khamis termasuk menerusi surat yang dihantar pada 22 Julai lepas.
Jelas beliau, kenyataan dan tindakan dibuat telah menghinanya selaku Yang di-Pertua Dewan Rakyat yang dipilih berdasarkan Perkara 47 Fasal 1 Perlembagaan Persekutuan serta menjalankan tanggungjawab mengikut Peraturan-Peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat.
Difahamkan, Awang memuat naik kenyataan berbunyi “Kezaliman telah berlaku dalam dan luar Parlimen, dalam Parlimen sekarang dikuasai oleh Tan Sri Speaker, melakukan kezaliman bermula Pendang, Machang dan seterusnya kalau tidak dihalang daripada sekarang”.
Dalam pada itu, Afnan Hamimi berpandangan, tindakan Johari terhadap Awang ialah contoh kebebasan media di bawah Kerajaan Madani.
“Ahli-ahli Parlimen kena berjaga-jaga, setiap perkataan diperhatikan oleh Speaker. Beliau akan pantau dan ambil tindakan dalam Dewan Rakyat.
“Terbaik! Ini contoh kebebasan bersuara Kerajaan Madani,” ujarnya lagi.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!