Hamas setuju bentuk jawatankuasa bersama Palestin tadbir Gaza selepas perang

Hamas telah mengadakan perbincangan mendalam dengan kumpulan Fatah di Kaherah untuk membentuk jawatankuasa.
Hamas telah mengadakan perbincangan mendalam dengan kumpulan Fatah di Kaherah untuk membentuk jawatankuasa.
A
A
A

GAZA CITY - Hamas berkata pada Khamis bahawa ia menerima cadangan Mesir untuk membentuk jawatankuasa bersama Palestin bagi mentadbir Semenanjung Gaza selepas perang Israel yang berterusan, lapor Agensi Anadolu (AA).

Dalam satu kenyataan, Hamas berkata, ia telah mengadakan perbincangan mendalam dengan kumpulan Fatah di Kaherah untuk membentuk jawatankuasa bagi mengurus Gaza melalui pelaksanaan rangka kerja yang telah dipersetujui sebelum ini untuk mencapai perpaduan Palestin.

"Hamas telah menyampaikan persetujuannya terhadap cadangan Mesir untuk membentuk sebuah jawatankuasa sokongan komuniti yang akan berfungsi melalui mekanisme kebangsaan yang inklusif,” tambahnya.

Hamas berkata, delegasinya di Kaherah juga telah mengadakan perbincangan dengan Barisan Popular untuk Pembebasan Palestin (PFLP), satu lagi kumpulan Palestin, untuk membincangkan perkembangan di Gaza dan Tebing Barat.

Mesyuarat tambahan telah diadakan dengan tokoh terkemuka Palestin, yang kemas kini mengenai perbincangan dengan Fatah dan cadangan Mesir telah dikongsi, katanya.

Sejak 2007, perpecahan geografi dan politik telah berterusan antara Hamas dan Fatah, dengan banyak pengantaraan dan perjanjian serantau serta antarabangsa gagal untuk merapatkan jurang itu.

Perpecahan yang berterusan ini telah memecah-belahkan pentadbiran Palestin, dengan Hamas mengawal Gaza dan pihak Berkuasa Palestin yang diterajui oleh Fatah mentadbir beberapa bahagian di Tebing Barat.

Israel melancarkan perang genosid ke atas Semenanjung Gaza, mengorbankan hampir 44,600 orang, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak, serta mencederakan lebih 105,700 orang.

Artikel Berkaitan:

Tahun kedua genosid di Gaza telah mengundang kecaman antarabangsa yang semakin meningkat, dengan pegawai dan institusi mengecam serangan serta sekatan penghantaran bantuan sebagai cubaan sengaja untuk memusnahkan penduduk.

Bulan lalu, Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) mengeluarkan waran tangkap terhadap Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu dan bekas Menteri Pertahanan Yoav Gallant atas dakwaan jenayah perang dan jenayah terhadap kemanusiaan di Gaza.

Israel juga menghadapi kes genosid di Mahkamah Keadilan Antarabangsa atas tindakan ketenteraannya di Gaza. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!