Konsep bandar span strategi jangka panjang tangani banjir
SEJAK beberapa tahun kebelakangan ini, konsep bandar span atau dalam istilah bahasa Inggeris - sponge city telah dibangkitkan sebagai alternatif yang inovatif dan berpotensi tinggi untuk mencegah serta menguruskan banjir.
Namun, sejauh manakah kajian dan penyelidikan yang telah dilakukan bagi mewujudkan bandar span akibat daripada banjir kilat atau banjir termenung terutama di kawasan bandar?
Untuk pengetahuan, bandar span ialah konsep pembangunan bandar yang direka untuk menyerap, menyimpan, menapis dan melepaskan air hujan secara perlahan-lahan ke dalam tanah atau sistem saliran.
Idea tersebut diilhamkan daripada ekosistem semula jadi seperti hutan dan tanah lembap yang mampu menyerap air hujan tanpa menyebabkan limpahan.
Dengan mengadaptasi elemen ini ke dalam perancangan bandar, bandar span dapat mengurangkan risiko banjir sambil menambah baik pengurusan air secara keseluruhan.
China merupakan antara negara terawal di dunia yang mengguna pakai konsep bandar span ini bermula pada tahun 2014 untuk mengatasi masalah banjir kilat yang berlaku di kawasan bandar-bandar utama mereka.
Dalam melaksanakan konsep bandar span ini, sesebuah bandar perlu mempunyai rangkaian kawasan semula jadi atau kawasan hijau yang mencukupi serta merentasi kawasan bandar bagi membolehkan air hujan meresap melaluinya.
Di samping itu, ia memupuk ekosistem bandar yang secara langsung akan meningkatkan kepelbagaian biodiversiti dan mewujudkan ruang dan peluang untuk warga kota berekreasi.
Apa pun, cabaran dan pelaksanaan bandar span di Malaysia memerlukan perancangan menyeluruh dan kerjasama pelbagai pihak. Antara cabaran yang mungkin dihadapi termasuk kos permulaan yang tinggi kerana infrastruktur bandar span memerlukan pelaburan besar.
Pendidikan dan pemahaman masyarakat tentang manfaat konsep ini juga penting, selain kerajaan perlu menggubal dasar dan garis panduan yang menyokong pembangunan bandar span.
Kesimpulannya, bandar span adalah konsep yang sesuai dengan keperluan pengurusan banjir di Malaysia, malah pelaksanaan konsep tersebut bukan sahaja satu langkah ke arah pembangunan mampan tetapi juga strategi jangka panjang untuk menangani cabaran perubahan iklim di masa hadapan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!