PLKN 3.0 wajar diteruskan atau tidak?
SHAH ALAM - Tidak kurang sebulan lagi, Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) 3.0 akan bermula.
Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari pada November mengesahkan PLKN 3.0 akan dilaksanakan secara berperingkat bermula 12 Januari tahun hadapan.
Beliau memaklumkan program rintis itu melibatkan 200 pelatih lelaki lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan akan dilaksanakan kem-kem Wataniah di seluruh negara.
Difahamkan kira-kira RM50 juta diperuntukkan untuk memulakan semula PLKN3.0 selepas ianya ditamatkan oleh Kerajaan Pakatan Harapan (PH) pada tahun 2018 atas alasan kos yang tinggi serta keberkesanan program ini dalam mencapai objektif asalnya yang dipersoalkan.
PLKN 3.0 bakal menyasarkan secara berperingkat peserta berusia 16 hingga 35 tahun dalam kalangan pelajar tingkatan empat, lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan pelajar institusi pengajian tinggi (IPT).
Namun Jawatankuasa Pilihan Khas (JKPK) Pembinaan Negara Bangsa, Pendidikan dan Pembangunan Sumber Manusia mencadangkan supaya kerajaan tidak meneruskan pelaksanaan Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) 3.0.
Sudah tentu keputusan yang dibuat oleh JKPK yang diwakili yang dianggotai sembilan ahli Parlimen itu memberi tamparan hebat kepada kerajaan samaada mahu meneruskan program berkenaan atau tidak.
Pengerusi JKPK, Datuk Seri Saifuddin Abdullah berkata, sekiranya kerajaan masih berhasrat untuk melaksanakannya, maka JKPK berpendapat satu kajian lebih mendalam dan terperinci perlu dibuat terlebih dahulu.
JKPK turut mengemukakan tujuh justifikasi berhubung penolakan PLKN 3.0 antaranya pelaksanaan latihan itu tidak mempunyai objektif dan sasaran pencapaian yang jelas dan merupakan masalah berlanjutan (legasi) akibat objektif dan sasaran PLKN 1.0 yang tidak jelas.
Selain itu JKPK mendakwa modul PLKN 3.0 bercampur aduk, iaitu 70 peratus asas ketenteraan dan 30 peratus (berkaitan) kenegaraan.
PLKN yang mula diperkenalkan pada 2004 bertujuan untuk memupuk semangat patriotisma di kalangan belia, membentuk integrasi nasional serta jati diri generasi muda.
Pada waktu itu, PLKN 1.0 dan 2.0 diwajibkan kepada remaja berumur 18 tahun yang dipilih melalui sistem undian rawak.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!