Mungkinkah TMJ kembali terajui FAM?

Tunku Ismail
Tunku Ismail
A
A
A

SIAPA individu yang akan mengisi jawatan nombor satu Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) kembali menjadi persoalan selepas Tan Sri Hamidin Mohd Amin membuat keputusan tidak akan mempertahankan jawatan itu pada kongres pemilihan akan datang, lapor MUHAMMAD ZAKWAN NAZARALY.

Beberapa nama dikaitkan oleh laporan media untuk mengisi posisi panas tersebut namun peminat sudah tentu mahukan pemimpin yang sememangnya berkredibiliti dari segenap aspek untuk memacu badan induk bola sepak negara itu.

Ketika ini, sukar untuk melihat calon sesuai dan memiliki reputasi yang tepat bagi mengambil alih FAM apatah lagi tiada mana-mana individu yang tampil menyatakan hasrat untuk bertanding.

Namun, peminat pasti memberikan tumpuan kepada pemilik kelab Johor Darul Ta'zim (JDT), Tunku Ismail Sultan Ibrahim yang merupakan calon hangat untuk kembali menerajui persatuan itu.

Dari sudut pengalaman, minat, idea serta kedudukan kewangan dan segala-galanya mungkin tampak sesuai dan tepat untuk Pemangku Sultan Johor itu diangkat sebagai orang nombor satu FAM.

Malah, Tunku Ismail juga pernah mencadangkan idea agar Harimau Malaya dapat bergerak berasingan termasuk baginda berkongsi sistem, peranan dan carta organisasi badan bebas itu yang akan di dedahkan sedikit masa lagi.

Jika baginda mengambil alih pasukan Harimau Malaya, FAM juga diharap turut mendapat sentuhan baginda bagi membetulkan apa jua kepincangan dalam badan induk itu.

Bagi pemerhati bola sepak negara, Azlan Johar berkata, petanda positif sekiranya Tunku Ismail yang juga bekas presiden FAM itu sudi kembali untuk mencorakkan FAM dan meningkatkan tahap bola sepak negara.

Artikel Berkaitan:

“Namun, baginda masih belum menyatakan bahawa baginda mahu kembali menerajui FAM selepas meletakkan jawatan pada 2018. Mungkin agak sukar untuk baginda kembali ke FAM.

“Jika baginda berminat kembali menerajui FAM, itu sememangnya sangat bagus dan memang diharapkan ramai. Kita sudah tentu akan melihat peningkatan demi peningkatan pasukan negara selain perubahan FAM itu sendiri jika di bawah Tunku Ismail.

“Lagipun, memang kita tahu keupayaan baginda ketika memacu JDT menjadi sebuah pasukan kuat bukan saja di Asia Tenggara malah di Asia dan dunia juga mengenali jenama JDT,” katanya kepada Sukan Sinar.

Tunku Ismail pernah menjadi Presiden FAM bagi penggal 2017/2021 sebelum beliau membuat keputusan untuk melepaskan jawatannya setahun kemudian.

Hamidin yang menjadi presiden FAM sejak 2018 mengambil keputusan untuk berundur dan memberikan ruang kepada calon lain mengemudi badan induk itu pada kongres pemilihan yang akan diadakan pada 15 Februari depan.

Dalam pada itu, Azlan berkata, selain golongan diraja, individu dari latar belakang korporat mungkin seharusnya menjadi pilihan ahli gabungan FAM sekiranya ada yang menawarkan diri.

“Kekuatan kewangan presiden selain tahu cara menguruskan organisasi dan tahu bagaimana mahu memastikan bola sepak negara maju mesti menjadi keutamaan.

“Kita ambil contoh bola sepak Indonesia, mereka mempunyai pentadbir yang bagus dan ia sudah menunjukkan hasil ketika ini. Jadi, pastikan individu itu betul-betul boleh beri tumpuan tinggi kepada FAM,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!